Sindiket palsu cap keselamatan Imigresen kaut RM15,000 sebulan

Iklan
Sebahagian barangan yang dirampas JIM dalam operasi pada Selasa lalu.

KUALA LUMPUR – Sindiket pemalsuan cap keselamatan Imigresen mengenakan bayaran antara RM70 hingga RM100 bagi setiap cap palsu yang ditawarkan kepada warga asing tanpa pas sah atau tinggal lebih masa menerusi aplikasi WhatsApp.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tiga individu dalam operasi khas di Kajang, Selangor dan Pandan Perdana, Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas risikan selama sebulan.

"Kita menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand berusia antara 40 hingga 45 tahun itu dipercayai dalang utama dan ahli sindiket terbabit.

Iklan

“Semakan awal mendapati seorang wanita warga Thailand yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (Pasangan Warganegara Malaysia), manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS)," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Antara barangan yang dirampas JIM dalam operasi pada Selasa lalu.

Iklan

Zakaria berkata, pihaknya turut merampas dua cap keselamatan endosmen Pas Lawatan dan satu cap keselamatan endosmen keluar yang dipalsukan dalam operasi itu.

"Kita turut merampas kepingan getah cap keselamatan endosmen Pas Lawatan dan endosmen keluar, dua cap tarikh, lima pad dakwat merah dan biru serta enam pasport Thailand.

"Selain itu, kita turut menyita satu pas sempadan Thailand, lima telefon bimbit, dua buku catatan dan kunci premis," katanya.

Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah dengan memalsukan cap keselamatan endosmen Imigresen yang dikeluarkan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sindiket dipercayai mempromosikan perkhidmatan itu menerusi aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran antara RM70 hingga RM100 bagi setiap cap palsu yang diturunkan pada pasport pelanggan," katanya.

Sebahagian barangan yang dirampas JIM dalam operasi pada Selasa lalu.

Belial berkata, pelanggan hanya perlu menghantar pasport tanpa perlu bersemuka bagi mengelakkan identiti mereka dikesan.

“Selain menyasarkan warga asing khususnya rakyat Thailand yang tidak mempunyai pas sah atau tinggal lebih masa, terdapat kemungkinan pelanggan sendiri tidak menyedari cap keselamatan yang tertera pada pasport mereka adalah palsu,” katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai mampu memperoleh keuntungan sehingga RM15,000 sebulan menerusi kegiatan itu.

"Lelaki tempatan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua wanita warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) akta sama," katanya.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.

"JIM akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian lain yang terlibat serta mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara," katanya.