Changlun destinasi pelancongan mengujakan

Iklan
Air Terjun Bukit Perangin menjadi lokasi kegemaran anak muda untuk beriadah.

KUBANG PASU - Terletak di utara Kedah berhampiran sempadan Thailand, Changlun bukan sahaja terkenal sebagai pekan transit pelajar universiti tetapi kini semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan semula jadi dan makanan yang mengujakan.

Antara tarikan utama yang semakin mendapat perhatian ialah aktiviti jungle trekking ke Air Terjun Bukit Perangin, sebuah lokasi tersembunyi kira-kira 10 kilometer dari jalan besar.

Iklan
Iklan

Air terjun ini cukup mempesonakan dan digelar Air Terjun Tirai oleh penduduk tempatan kerana aliran airnya yang turun seperti tirai halus dari dinding batu.

Untuk ke sini, pengunjung perlu memohon permit terlebih dahulu daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dengan harga RM5 seorang.

Iklan

Bagi mereka yang sukakan cabaran dan alam semula jadi, laluan hutan sepanjang 10 kilometer pastinya memberikan pengalaman berharga. Bagi yang kurang gemar berjalan jauh, boleh juga menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) untuk masuk ke lokasi air terjun ini.

Tidak jauh dari kawasan ini, satu lagi tarikan yang tidak boleh dilepaskan ialah peluang menikmati durian premium secara terus di dusun menerusi Pakej Makan Durian Dalam Dusun yang ditawarkan Dusun Durian Teratak Chu Tiah.

Iklan

Ahmad Badiuzzman menunjukkan durian premium yang terdapat di dusun mereka.

Dusun ini diusahakan Nor Azlan Jan, 64, bersama dua anak lelakinya Ahmad Luqman Hakim, 35, dan Ahmad Badiuzzman, 33, di atas tanah seluas 23 hektar yang menempatkan 5,000 pokok durian pelbagai jenis.

Mereka menawarkan durian premium seperti musang king, udang merah, duri hitam dan banyak lagi.

Menurut Ahmad Luqman Hakim, pengunjung dinasihatkan untuk membuat tempahan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi mengelakkan kesesakan atau ketiadaan buah durian terutama ketika musim puncak.

"Insya-ALLAH pada tahun ini musim durian dijangka bermula pada Jun, jadi kepada orang ramai yang hendak merasa durian awal musim boleh hubungi kami untuk tempahan slot.

Orang ramai yang hendak menikmati durian dalam dusun perlu membuat tempahan awal.

"Kita tak galakkan datang terus tanpa tempah dahulu. Kalau datang dari jauh, mesti kecewa jika tak dapat slot makan durian,” katanya.

Bagi mereka yang tidak begitu meminati durian, bolehlah singgah ke Dusun Riffaa yang turut menawarkan suasana damai dan menu ala Thai menyelerakan.

Hidangan yang menjadi kegemaran pengunjung antaranya miang pla, kengsom, daging bakar Dannok dan pelbagai lagi menu dari negara jiran itu.

Miang pla ikan siakap menu popular di Dusun Riffaa.

Diusahakan oleh pasangan Wan Fatimah Megat Saad, 41, dan suaminya Mohd Ridzal Ramli, 46, dusun ini bukan sahaja menawarkan makanan, tetapi juga kemudahan lengkap seperti pondok rehat, ruang makan luas dan sudut bergambar yang menarik.

Ada juga anak sungai kecil untuk kanak-kanak mandi-manda, menjadikannya lokasi mesra keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur. Pengunjung yang suka menghirup udara segar juga boleh menempah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) untuk bersiar-siar sekeliling dusun.

Sebagai pelengkap percutian, pengunjung juga boleh singgah ke sebuah lagi tarikan menarik iaitu MD2 Botanic Cafe & Resort, sebuah kafe dalam ladang nanas.

Terletak tidak jauh dari Dusun Riffaa, kafe ini dibuka setiap hari kecuali Selasa, dari jam 11 pagi hingga 6 petang. Antara menu unik yang ditawarkan termasuklah aiskrim nanas, jus nanas segar, laksa Kedah, mi segera kari udang dan pelbagai juadah tempatan.

Pelbagai sudut bergambar menarik dan cantik terdapat di Dusun Riffaa.

Sebelum meninggalkan pekan Changlun ini, tidak lengkap percutian anda jika tidak singgah ke MnM Home Whimsical Houses yang menempatkan tujuh buah rumah aneh dan menarik, mini petting zoo serta kolam mandi.

Anda berpeluang bergambar dalam rumah senget, rumah terbalik, rumah hobbit dan banyak lagi namun perlu membuat tempahan awal sehari.