SHAH ALAM - Pengguna perlu menyemak maklumat dengan teliti sebelum membuat pemindahan wang menggunakan kod respons pantas (QR) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Pakar keselamatan siber, Adlyn Adam Teoh berkata, tanpa semakan teliti, pengguna terdedah kepada ancaman penipuan kod yang sah ditukar kepada palsu.
Menurutnya, secara umum pengguna turut berdepan dengan kesukaran untuk mengenal pasti kod QR sah atau yang palsu jika tidak diteliti sebaiknya.
"Ramai pengguna tidak sempat semak, terus transfer (buat pemindahan) sahaja kerana hendak cepat. Ini sangat berbahaya kerana kita mungkin tersilap hantar wang ke akaun yang salah.
"Selalunya, kita tidak dapat memastikan sama ada kod QR itu sahih. Oleh itu, penting untuk mengesahkan kesahihannya. Individu yang mengimbas kod QR perlu memastikan penerima adalah benefisiari yang betul.
"Sebaiknya, mereka boleh membuat pengesahan ini sejurus selepas mengimbas kod QR dengan menunjukkan kepada penerima nama benefisiari dan jumlah transaksi yang tertera sebelum mengesahkan proses pindaan wang ataupun menyemak nama benefisiari. Pendekatan yang ringkas tetapi berkesan ini dapat mengelakkan kesilapan atau masalah,” katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, penggunaan kod QR dalam kalangan rakyat Malaysia kini menjadi kebiasaan baharu, bermula dari perkhidmatan perbankan, pertukaran kenalan hingga pemesanan makanan.
Bagaimanapun, dengan peningkatan penggunaan kod QR, firma keselamatan siber Kaspersky memberi amaran kepada rakyat di negara ini untuk terus berjaga-jaga terhadap ancaman yang semakin berkembang melibatkan penipuan perkhidmatan tersebut.
Mengulas lanjut, Adlyn berkata, individu yang mengimbas kod QR juga perlu mengambil langkah proaktif dengan menunjukkan kepada penerima nama benefisiari serta jumlah transaksi yang tertera di skrin sebelum menekan butang pengesahan.
Katanya, masyarakat juga perlu perlu diberi kesedaran berterusan supaya tidak menjadi mangsa penipuan perkhidmatan berkenaan.