KOTA BHARU – Kerajaan berhasrat menjadikan tanaman kenaf setanding dengan kelapa sawit, getah dan koko dalam usaha melonjakkan perkembangan tanaman serta industri tersebut di negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketiga-tiga komoditi itu akan dijadikan rujukan kerana telah terbukti berjaya menjadikan Malaysia antara negara pengeksport utama bahan tersebut.
"Perkara itu mampu direalisasikan sekiranya negara mempunyai kilang dan kemahiran dalam memproses kenaf.
"Bagaimanapun, kenaf masih belum mencapai tahap tersebut. Masih banyak perkara yang perlu diteliti dalam usaha memajukan industri kenaf negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Tahun 2025 di sini pada Ahad.
Menurut beliau, beberapa cadangan telah dikemukakan kepada pihak LKTN untuk diteliti dengan sebaik mungkin.
Ujarnya, sekiranya mahu menjadikan satu komoditi itu berjaya, kenaf perlu mempunyai ekosistem yang lengkap.
Johari memberitahu, buat masa ini kenaf masih belum mempunyai ekosistem tersebut selain menghadapi kekangan tanah bagi mengusahakan tanaman itu.
"Ketika ini jumlah tanaman kenaf di seluruh negara sekitar 1,600 hektar sahaja. Jadi, usaha mempromosi tanaman ini akan terus dipergiatkan bagi mengembangkan lagi industri kenaf.
"Sebagai galakan, saya mencadangkan LKTN supaya ke Bangladesh, China dan Indonesia untuk melihat perkembangan industri kenaf di negara berkenaan," katanya.