Kejayaan penuh inspirasi Siti Hajar dalam dunia spa, urutan

Iklan
Siti Hajar diraikan oleh delegasi Malaysia bersama-sama johan keseluruhan lelaki, Zawawi Abdullah, kerana mengharumkan nama negara di Kejohanan Urut Antarabangsa Asia Tenggara 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, Sepang pada 26 Januari 2025.

SITI Hajar Mahmud, seorang terapis spa dan urutan yang penuh dedikasi telah mengharumkan nama Malaysia dengan meraih dua gelaran utama di Kejohanan Urut Antarabangsa Asia Tenggara 2025 (Southeast Asia International Massage Championship 2025) yang berlangsung pada 24 hingga 26 Januari lalu di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, Sepang.

Beliau telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Spa & Wellness dan Johan Keseluruhan Wanita mengalahkan 157 peserta dari 11 negara termasuk Malaysia, Thailand, Singapore, Taiwan, Indonesia, Vietnam, Bangladesh, Myanmar, Brunei, Cambodia, Laos dan Philippines.

Iklan
Iklan

Siti Hajar mewakili negara ke Kejohanan Urut Eropah 2025 (European Massage Championship 2025) yang akan berlangsung di Cesure, Le Grand Plateau, Paris dari 23 Mei ke 25 Mei ini

Siti Hajar, 37 tahun, dilahirkan di Hospital Besar Alor Setar, Kedah, sebagai anak ketiga daripada empat beradik.

Iklan

Menempuh kehidupan yang amat sederhana, beliau memulakan pendidikan awal i Sekolah Rendah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun.

Beliau tidak berhenti berusaha walaupun selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang Pembuat Pakaian Wanita di Institut Kemahiran Belia Negara Jitra.

Iklan

Namun, minat Siti Hajar dalam dunia spa dan urutan tidak dapat dinafikan.

Setelah memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Juru Urut melalui kursus yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Energy Academy Langkawi pada tahun 2011, Siti Hajar mula bekerja sebagai terapis di pelbagai spa terkemuka di Langkawi dan Changlun, Kedah.

Siti Hajar (empat dari kanan) mengharumkan nama negara di Kejohanan Urut Antarabangsa Asia Tenggara 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, Sepang, pada 26 Januari 2025.

Pengalaman berharga yang diperolehi sebagai terapis di V Botanical SPA, The Andaman Resort Langkawi selama 2 tahun pada 2011, di Alun-Alun SPA di Bay View Pekan Kuah Langkawi pada 2013, di Alun-Alun Pantai Chenang Langkawi 2013, di D’ Amigos dan di Lulu Beauty, Changlun, pada 2016 memberi beliau keyakinan untuk membuka perniagaan homespa sendiri di Kampung Changhai, Changlun, pada 2016.

Selain itu, Siti Hajar turut menjadi seorang Guru Jahitan KEMAS yang mengajar bidang jahitan sejak penghujung 2016 hingga kini.

Dalam menjalani pelbagai tugas, beliau terus menunjukkan semangat yang tinggi untuk membantu orang ramai menerusi pengetahuan dan kemahiran yang dimilikinya.

Keberanian menghadapi cabaran

Siti Hajar menyifatkan kejayaannya dalam pertandingan tersebut sebagai hasil usaha gigih dan doa daripada keluarga, sahabat serta pelanggan setianya.

Dalam pertandingan itu, beliau bersaing dengan lebih 150 peserta lelaki dan wanita dari pelbagai negara, namun itu tidak menghalang beliau untuk menunjukkan kehebatan dalam bidang urutan dan spa.

Namun, perjalanan kejayaannya tidaklah mudah. Siti Hajar pernah menghadapi pelbagai rintangan dalam hidupnya - dari kesulitan ekonomi sehinggalah kekurangan sokongan awal dari masyarakat.

Tetapi beliau tidak pernah menyerah, sebaliknya terus bangkit, bekerja keras dan memperbaiki kemahiran teknikal serta mentaliti yang positif.

"Setiap perjalanan hidup saya penuh dengan cabaran. Tetapi cabaran itu adalah ujian untuk saya menjadi lebih kuat. Saya percaya bahawa kejayaan itu datang kepada mereka yang tidak berputus asa," ujar Siti Hajar.

Siti Hajar juga berkongsi rahsia kejayaannya, iaitu dengan menjaga hubungan baik dengan keluarga dan pelanggan.

"Redha suami, doa ibu bapa, sokongan keluarga dan sahabat serta kepercayaan pelanggan adalah kunci utama di sebalik kejayaan saya.

"Selebihnya, kita yang beragama Islam sebagai hamba Allah, bergantung harap sepenuhnya kepada Allah," kata Siti Hajar sambil tersenyum.

Perancangan masa depan

Tidak berpuas hati dengan kejayaan semasa, Siti Hajar mempunyai perancangan jangka panjang yang lebih besar dalam bidang spa dan urutan.

Beliau bercita-cita untuk mendalami lebih dalam ilmu dalam bidang ini, khususnya dalam aspek kesihatan dan kecantikan.

Siti Hajar juga berhasrat untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang urutan kerana beliau percaya bahawa urutan bukan sekadar rawatan tetapi seni yang melibatkan jiwa, emosi dan kepekaan dalam setiap sentuhan.

"Urutan adalah tentang sentuhan, niat dan emosi yang mengalir. Saya ingin menjadi pengajar kepada generasi akan datang, supaya mereka bukan sahaja tahu teknik tetapi juga hati dan jiwa di sebalik setiap urutan," kata Siti Hajar dengan penuh tekad.

Selain itu, beliau berharap untuk membuka peluang kerjasama dengan agensi, jabatan, pusat peranginan dan syarikat kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan urutan korporat yang eksklusif kepada pelanggan yang memerlukan.

Beliau juga berharap dapat bekerjasama dengan jenama minyak urut dan produk kesihatan bagi memperkembangkan perniagaan dan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan muda.

Siti Hajar merangkul dua gelaran utama di Kejohanan Urut Antarabangsa Asia Tenggara 2025 (Southeast Asia International Massage Championship 2025) Januari lalu

Doa dan sokongan kejayaan di Paris

Siti Hajar berharap kejayaannya akan terus menyinar dan memberi inspirasi kepada orang lain yang berjuang untuk mencapai impian mereka.

Dalam masa yang sama, beliau bertekad untuk menyertai pertandingan antarabangsa yang akan datang di Paris, yang akan membuka peluang lebih besar lagi untuk mengharumkan nama negara.

Atas kejayaannya di Kejohanan Urut Antarabangsa Asia Tenggara 2025 ini beliau terpilih menyertai acara urut yang paling berprestij yang disertai oleh semua ahli terapi urut di seluruh dunia, iaitu Kejohanan Urut Eropah 2025 (European Massage Championship 2025) yang akan berlangsung di Cesure, Le Grand Plateau, Paris dari 23 Mei ke 25 Mei ini.

Siti Hajar kini sedang bekerja keras mempersiapkan diri untuk menyertai kejohanan ini, dengan harapan bahawa kemenangan akan mengharumkan lagi nama negara.

Agak memeritkan kerana sehingga kini beliau masih belum mendapat tajaan mana-mana pihak dan terpaksa bergantung kepada dana sendiri untuk membiayainya.

"Oleh itu, saya mengharapkan sokongan sama ada material mahupun spiritual dari semua pihak kerana kejayaan ini bukan hanya milik saya tetapi milik kita semua.

"Marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan saya di Paris kerana ini akan membolehkan industri spa dan urutan Malaysia terus berkembang di peringkat antarabangsa," tambah Siti Hajar dengan penuh harapan.

Inspirasi untuk semua

Siti Hajar merupakan contoh teladan tentang bagaimana kejayaan datang kepada mereka yang gigih berusaha, tidak mudah berputus asa dan terus memperbaiki diri walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Kisah hidupnya mengingatkan kita bahawa tiada yang mustahil apabila kita percaya kepada diri sendiri dan sentiasa dikelilingi oleh sokongan yang positif.

Kejayaan beliau dalam pertandingan ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada wanita lain untuk mengejar impian mereka, tetapi juga membuka mata masyarakat terhadap betapa pentingnya bidang spa dan urutan dalam dunia kesihatan dan kecantikan.

Marilah kita bersama-sama menyokong dan mendoakan kejayaan Siti Hajar agar ia menjadi satu lagi pencapaian cemerlang yang akan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

*** Aida Rozita Mokhtar adalah Setiausaha Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (BERDAYA)