SITIAWAN – Empat lelaki cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang tiang elektrik dalam kejadian di Taman Seri Lekir, Batu 7 di sini awal pagi Ahad.
Difahamkan kenderaan jenis Naza Citra dinaiki kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.35 pagi
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dengan bantuan BBP Seri Manjung dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan itu.
"Ketika tiba, didapati empat mangsa lelaki Melayu tidak tersepit, namun dua daripadanya mengalami kecederaan parah. Seorang mangsa patah bahu kanan, manakala pemandu pula mengalami patah kaki kanan.
"Dua lagi mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian awal dan mengarahkan operasi penyelamatan serta memberikan rawatan awal kepada mangsa.
Menurutnya, kesemua mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.35 pagi serta tamat lima minit kemudiannya.