Perak FC undur diri

Iklan
Azim

MASA depan Perak FC dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan akhirnya terjawab apabila Pengerusi kelab, Datuk Seri Azim Zabidi, mengesahkan bahawa skuad The Bos Gaurus tidak akan beraksi pada musim 2025/2026 berikutan kekangan kewangan yang semakin meruncing.

Azim mengakui bahawa keputusan menarik diri terpaksa diambil kerana kelab itu kini berdepan masalah kewangan yang terlalu kritikal.

Iklan
Iklan

"Ya betul, kita akan menarik diri. Kita tiada jalan lain. Kita akan cuba mencari pelabur baharu, namun bukan mudah dalam keadaan sekarang.

"Kita hampir di ambang muflis. Duit memang sudah tiada. Kalau nak perah darah dari batu pun lebih mudah," katanya.

Iklan

Spekulasi mengenai masa depan Perak FC semakin hangat diperkatakan selepas penjaga gol pasukan, Haziq Nadzli, memuat naik hantaran di media sosial yang membayangkan operasi kelab itu bakal dihentikan.

Dalam pada itu, Azim turut mendedahkan mengenai tawaran pembayaran tunggakan gaji yang ditolak oleh pemain-pemain.

Iklan

Menurutnya, kelab hanya mampu membayar 20 peratus daripada tunggakan gaji enam bulan setengah, namun pemain enggan menerima tawaran tersebut.

"Itu sahaja yang mampu kami tawarkan. Kalau duit tidak ada, memang tidak ada. Walau macam mana sekali pun, kita tidak boleh mencipta duit yang tiada...

"Mereka meminta supaya kami mempertimbangkan bayaran pada kadar yang lebih tinggi. Saya kata, saya akan cuba, namun realitinya, kalau tiada, memang tiada. Ini sahaja wang yang ada dalam akaun kelab," jelasnya.

Azim turut mencadangkan agar semua barangan cenderamata dan 'merchandise' kelab dijual bagi menambah dana untuk melunaskan sebahagian tunggakan kepada pemain.

"Kita memang berusaha untuk membayar. Bukan kami cuba melarikan diri daripada tanggungjawab," katanya.

Ketika ditanya sama ada Perak FC bersedia dijual pada harga RM1 atau diberikan secara percuma kepada mana-mana pihak yang berminat, Azim menjelaskan bahawa perkara itu terbuka untuk dibincangkan.

"Kita akan berbincang mengenainya. Sukar untuk saya memberi jawapan muktamad sekarang, namun kita terbuka untuk berbincang," ujarnya.