KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan lawatan kajian khas di ibu negara pada Selasa ini bagi memberi pendedahan kepada ahli Parlimen mengenai kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, jemputan rasmi telah dihantar kepada semua ahli Parlimen, termasuk wakil kerajaan dan pembangkang, pada awal bulan ini bagi menyertai program tersebut.
"Saya ingin menjemput semua ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang, untuk bersama-sama kementerian melawat kawasan bandar yang daif dan uzur serta mengkaji kejayaan projek-projek pembaharuan semula yang telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Kor Ming, lawatan itu akan melibatkan tinjauan ke beberapa flat yang uzur bagi menilai keadaan semasa dan mengenal pasti isu-isu setempat yang dihadapi penduduk.
Ahli Parlimen juga berpeluang melihat sendiri projek pembaharuan semula bandar yang berjaya, di mana flat-flat lama telah dibangunkan semula menjadi kawasan kediaman moden, selesa dan berdaya huni, katanya.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, menerusi inisiatif itu, kementerian berhasrat menampilkan potensi RUU Pembaharuan Semula Bandar dalam mempercepat usaha pembaharuan kawasan tidak selamat serta memperbaiki kualiti hidup penduduk bandar.
RUU Pembaharuan Semula Bandar yang telah dirangka sejak 2013 dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan mempercepat proses pembaharuan dan pemuliharaan bandar menerusi penurunan ambang persetujuan oleh penduduk, khususnya bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk didiami.