JS-SEZ sebagai kuasa ekonomi serantau

Iklan
Malaysia dan Singapura perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing yang saling melengkapi melalui JS-SEZ.

SAYA baru sahaja pulang dari lawatan ke Washington DC. Saya percaya pasukan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengadakan sesi libat urus yang produktif pada 24 April bersama Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Duta Besar Jamieson Greer.

Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan AS berhubung tarif timbal balas Presiden Donald Trump dan berkongsi keterbukaan kami untuk berunding dalam empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani halangan bukan tarif, mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Iklan
Iklan

Beberapa hari lalu pada 21 dan 22 April, MITI bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Singapura dan kerajaan negeri Johor – serta rakan kongsi lain dalam sektor kerajaan dan swasta – untuk menganjurkan Forum Bersama Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang julung kali diadakan di Johor Bahru.

Apa hubungan kedua-dua peristiwa ini? Dalam ucaptama saya di forum tersebut, saya menekankan kekuatan hubungan Malaysia-Singapura terletak pada kerjasama erat kedua-dua negara dan JS-SEZ menawarkan peluang terbaik untuk memperkukuhkan perkongsian ini, terutamanya ketika banyak negara sedang berusaha memitigasi impak ekonomi akibat tarif AS.

Iklan

Pada tahun 2024, Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar satu sama lain, manakala Singapura merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia. Nilai dagangan kami kukuh iaitu AS$86.69 bilion pada tahun 2024.

Semasa Malaysia dan Singapura memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai JS-SEZ pada Januari 2024, tiada siapa menyangka bahawa Presiden Trump akan meledakkan ‘bom’ tarif timbal balas AS ke atas semua rakan dagangnya 15 bulan kemudian.

Iklan

Saya percaya sentimen ini turut dikongsi oleh lebih kurang 1,000 peserta Forum JS-SEZ baru-baru ini. Jadi, bergerak ke hadapan, bagaimanakah kita memanfaatkan JS-SEZ seluas 3,588 kilometer (km) persegi ini untuk membina daya tahan dalam senario perdagangan global semasa?

Asas-asas JS-SEZ tiada tandingan

Walau apa pun yang berlaku di dunia, bagi Malaysia, JS-SEZ tiada tandingan dari segi lokasi strategik, ketersambungan, kedaulatan undang-undang, sumber pelbagai dan bakat mahir untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor seperti pembuatan termaju, logistik, teknologi hijau dan perkhidmatan digital ke Johor.

Bagi Singapura, JS-SEZ menyediakan ruang dan skala untuk menyokong perkembangan sektor perniagaannya, dengan memanfaatkan ketersediaan tanah dan tenaga di Johor, serta tenaga mahir Malaysia.

Pendek kata, JS-SEZ menawarkan ekosistem rentas sempadan yang menarik bagi syarikat multinasional (MNC) yang mengutamakan kestabilan, keupayaan untuk berkembang dan kelestarian operasi.

Saya berani mengatakan JS-SEZ berada di kedudukan terbaik, terutamanya dalam situasi di mana tarif Trump sedang pantas mengubah peranan perdagangan global daripada sebuah ‘jambatan’ kepada ‘halangan’ dan pelabur global sedang sibuk menyusun semula rantaian bekalan mereka untuk menjadikannya lebih berdaya tahan.

Oleh itu, kita mesti segera merebut peluang untuk memartabatkan JS-SEZ dalam rantaian bekalan serantau atau global.

Pertumbuhan dan manfaat

Walaupun kita terus terlibat urus dengan AS, Kerajaan Madani telah memulakan usaha mempelbagaikan pasaran dan memperbaharui ekonomi kita. JS-SEZ memainkan peranan penting dalam menyokong kedua-dua objektif itu.

Contohnya, dalam pembaharuan ekonomi, MITI menganggap JS-SEZ sebagai sebuah ‘taman perindustrian’ besar yang mampu menjadi landasan mantap untuk pelbagai inisiatif kami di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

Kami juga berazam untuk memastikan bahawa sebahagian besar daripada 20,000 peluang pekerjaan mahir dipenuhi oleh rakyat Malaysia, terutamanya melalui inisiatif seperti Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

Bagaimana pula dengan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS)?

Semasa forum JS-SEZ, terdapat banyak perbincangan mengenai integrasi PKS Malaysia ke dalam rantaian bekalan serantau dan global, terutamanya melalui sokongan kepada MNC dan syarikat tempatan yang berpangkalan di Johor.

JS-SEZ juga akan membantu PKS memanfaatkan peluang yang timbul dari Singapura, sebagai asas untuk mereka mengakses kemudahan logistik dan eksport lebih baik ke pasaran ASEAN dan Asia.

Kita juga tidak harus lupa tentang potensi manfaat JS-SEZ untuk rakyat Malaysia dan Singapura.

Penggunaan kod QR tanpa memerlukan pasport untuk perjalanan Malaysia-Singapura akan melancarkan pergerakan rentas sempadan, seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kualiti hidup.

Usaha jayakan JS-SEZ

Soalan kedua: Adakah Malaysia, Singapura dan Johor akan terus komited dengan usaha menjayakan JS-SEZ?

Hujah yang paling meyakinkan dan jelas adalah usaha bersepadu antara badan-badan kerajaan terlibat - saya sangat berbesar hati berkongsi pentas dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong semasa forum tersebut.

Sebelum forum dilaksanakan, MITI aktif melaksanakan tanggungjawabnya di bawah kumpulan kerja untuk Ease of Doing Business, sambil menyokong kumpulan kerja lain seperti sektor ekonomi (diketuai Kementerian Ekonomi), pergerakan barangan (diketuai Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan bakat (diketuai Kementerian Sumber Manusia). Agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Invest Johor juga telah bekerjasama rapat dengan pelbagai majlis bandar raya di Johor.

Ia membawa kepada beberapa kejayaan awal, termasuk penubuhan Pusat Fasilitasi Pelaburan Johor (IMFC-J) pada 18 Februari, satu peristiwa penting dalam memudahcara proses pelaburan JS-SEZ.

JS-SEZ perlu dikembangkan

Oleh itu, komitmen ketiga-tiga pihak terhadap JS-SEZ sangat jelas. Contohnya, dalam meluaskan skop JS-SEZ, kerajaan Persekutuan menyokong cadangan kerajaan Johor bagi inisiatif kawal selia percubaan yang akan memainkan peranan penting dalam terus menarik pelaburan mampan dan bernilai tinggi.

Memandangkan lokasi JS-SEZ yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara dan Asia, kami juga menyasarkan JS-SEZ berperanan besar dalam memperkukuhkan rantaian bekalan kedua-dua rantau. Sasaran ini mesti diperjuangkan melangkaui Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025.

Kerjasama di peringkat ASEAN sudah pun dilihat melalui pertukaran MoU antara Pelabuhan Tanjung Langsat dan Terminal Tenaga Pertamina semasa forum tersebut. Sasaran mereka adalah untuk mencapai volum dagangan tahunan sebanyak tiga juta tan melalui JS-SEZ.

Inilah juga sebabnya MITI mengalu-alukan cadangan Menteri Besar Johor untuk menubuhkan sebuah Taman Perindustrian ASEAN (atau mungkin RCEP) dalam JS-SEZ untuk memupuk integrasi ekonomi dan menarik pelaburan bernilai tinggi dari rantau ASEAN dan rantau-rantau lain.

Tumpuan harus diberikan kepada peningkatan kecekapan rantaian bekalan dan daya tahan dalam industri Malaysia-Singapura yang saling melengkapi.

Pasti akan ada keraguan, tetapi kita mesti kekal dalam landasan ini. Memandangkan situasi perang perdagangan global yang diunjurkan bakal menjadi lebih tegang, Malaysia dan Singapura mesti memanfaatkan kekuatan masing-masing yang saling melengkapi melalui JS-SEZ untuk menguatkan diri kita di peringkat serantau.

Dengan sokongan awam-swasta yang padu daripada kedua-dua belah pihak, JS-SEZ mampu muncul sebagai kuasa ekonomi serantau untuk mengukuhkan rantaian bekalan ASEAN dan Asia, sambil memenuhi keperluan pasaran Asia dengan 4.7 bilion penduduknya. Yang nyata, kedua-dua Malaysia dan Singapura boleh menjadi pemenang dalam hal ini melalui JS-SEZ.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri