KOTA BHARU – Mangsa penderaan seksual bawah umur akan dirujuk ke Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC) di hospital bagi mendapatkan rawatan serta sokongan emosi dan kaunseling, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau, dalam tempoh rawatan tersebut, kanak-kanak terlibat akan turut dipantau oleh agensi berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta majlis agama.
"KKM (Kementeri Kesihatan) bukan agensi utama, tetapi kami memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan kesihatan seksual dan rawatan perubatan kepada mangsa.
"Penanganan kes ini memerlukan kerjasama antara pelbagai pihak,” katanya ketika diminta mengulas isu peningkatan kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mini Karnival Jom Sihat@Kota Lama pada Jumaat.
Tambahnya, KKM sentiasa komited memberikan sokongan terhadap usaha menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak di seluruh negara.
"Saya percaya, bukan hanya Kelantan, bahkan negeri-negeri lain juga berdepan isu sama. Kita bersedia untuk berbincang dan membantu,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusof Mamat mendedahkan peningkatan membimbangkan dalam kes rogol dan sumbang mahram di negeri itu yang berlaku saban tahun.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Dzulkefly turut berharap agar lebih ramai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menerima keputusan baru-baru ini memilih bidang perubatan bagi mengatasi masalah kekurangan pakar di negara ini.
Menurut beliau, penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah kunci untuk mendorong pelajar ke arah kerjaya dalam bidang perubatan.
"Kita harap lebih ramai memilih aliran STEM yang secara tidak langsung dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan pakar perubatan dalam negara,” katanya.