SHAH ALAM - Tiada kata mampu menggambarkan perasaan seorang bapa apabila si anak berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan antara peperiksaan terpenting negara.
Lebih membanggakan, kejayaan itu melengkapkan rekod luar biasa keluarga bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Nor Azwadi Che Sidik apabila empat daripada enam anaknya yang telah menduduki SPM setakat ini mencatat keputusaan semua A.
Terkini, anak keempatnya, Nur Alia Ariana Nor Azwadi merupakan pelajar aliran sains tulen di Sekolah Menengah Agama Putrajaya (SMAPUTRA) turut mencatat keputusan cemerlang 12A, sekali gus menyambung legasi kejayaan kakak dan abangnya sebelum ini.
"Dia ambil subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Bahasa Arab.
"Dia turut ambil dua lagi subjek dari Program Tahfiz Model Ulul Albah (TMUA) di sekolahnya iaitu Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.
Tidak hanya itu, dua lagi anak Nor Azwadi iaitu anak pertama, Nur Alia Alisya, 24, mengambil keputusan SPM pada 2019 manakala anak keduanya Mohd Irfan, 23, pada 2020 turut mendapat keputusan cemerlang semua A dalam peperiksaan tersebut.
Legasi kecemerlangan keluarga itu diteruskan lagi apabila anak ketiganya, Nur Alia Amira, 19, mencatat kejayaan gemilang dengan memperoleh semua A dalam SPM 2023.
Seimbang antara pendidikan akademik dan agama, Nur Alia Ariana bersama kakaknya, Nur Alia Amira turut mencatatkan kejayaan bergelar hafizah setelah berjaya menghafal al-Quran 30 juzuk pada usia muda.
Nor Azwadi berkata, peranan besar pendidikan al-Quran dalam membentuk sahsiah dan disiplin anak-anaknya amat membantu menyumbang kepada kejayaan yang diraih mereka.
"Selain Alia Amira dan Alia Ariana, anak kelima saya Muhammad Izzat yang kini berada di tingkatan empat juga merupakan huffaz.
"Saya tidak menafikan berdamping dengan kitab suci al-Quran sangat membantu proses pembelajaran anak-anak. Mereka lebih mudah faham dan terbuka untuk menerima ilmu di sekolah.
"Apabila bergelar huffaz itu sendiri telah membentuk disiplin dalam diri anak-anak agar bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik tetapi juga agama,” katanya lagi.
Tambah Nor Azwadi, Nur Alia Ariana kini berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian dan memilih Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai institusi pendidikan untuk menyambung pengajian.
Ditanya rahsia kejayaan anak-anaknya, beliau berkata ia bukan datang secara tiba-tiba sebaliknya bermula dengan perancangan haluan pendidikan dan kerjaya seawal bangku sekolah rendah.
"Saya dan isteri memang sudah menerapkan minat terhadap kerjaya tertentu sejak mereka kecil lagi.
"Apabila hala tuju sudah nampak, kami fokus pada subjek penting yang perlu dikuasai. Latihan intensif juga sudah didedahkan sejak tahun akhir ketika mereka berada di tingkatan tiga lagi. Jadi apabila mereka memasuki tingkatan empat, mereka lebih bersedia,” katanya.