GEORGE TOWN – Hospital Gleneagles Pulau Pinang melakar sejarah apabila melancarkan Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan) berteknologi tinggi iaitu SOMATOM Pro.Pulse Computed Tomography (CT).
Mesin CT Scan tersebut merupakan yang pertama di Asia Tenggara, dan mengandungi teknologi terkini yang membolehkan proses diagnosis dilakukan dengan lebih pantas dan tepat, sekali gus menyokong keputusan rawatan yang lebih baik serta memberikan pengalaman yang lebih selesa kepada pesakit di rantau ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ng Bong Seng berkata, pengenalan teknologi baharu itu mencerminkan komitmen hospital dalam menyediakan penjagaan bertaraf tinggi kepada pesakit.
"Pemerolehan SOMATOM Pro.Pulse CT adalah bukti komitmen kami dalam memberikan standard penjagaan tertinggi di samping meminimumkan tekanan serta ketidakselesaan kepada pesakit.
"Kami berbangga menjadi institusi perubatan pertama di Asia Tenggara yang menggunakan sistem ini, sekali gus memperluaskan akses kepada imbasan CT lanjutan kepada penduduk tempatan serta menyokong pertumbuhan pelancongan kesihatan di negeri ini,” katanya.
Sebelum itu, Bong Seng menghadiri Majlis Pelancaran SOMATOM Pro.Pulse CT yang disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen pada Jumaat.
Tambah beliau, pengimbas SOMATOM Pro.Pulse CT direka khas bagi memastikan pemeriksaan dilakukan dengan lebih cepat dan selesa, terutama untuk pesakit yang mempunyai kadar degupan jantung tidak teratur atau mengalami kesukaran untuk kekal dalam keadaan pegun.
"Sistem tersebut turut dilengkapi ciri myExam Companion berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dapat memperibadikan setiap imbasan berdasarkan kadar degupan jantung dan keupayaan pernafasan pesakit.
"Ia bukan sahaja menjadikan proses pemeriksaan lebih lancar, malah amat membantu golongan kanak-kanak dan warga emas kerana dapat mengurangkan masa mereka berada di dalam Bilik CT,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Siemens Healthineers Malaysia dan Singapura, Siow Ai Li berkata, pihaknya amat berbangga dapat membawa masuk teknologi tersebut ke Malaysia melalui kerjasama bersama Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
"Di Siemens Healthineers, kami sentiasa berusaha untuk menjadikan teknologi canggih seperti CT sumber dwi lebih mudah diakses.
"SOMATOM Pro.Pulse CT direka untuk mengimbangi prestasi klinikal dan keselesaan pesakit, sejajar dengan matlamat hospital ini untuk meningkatkan kualiti penjagaan,” ujarnya.
Pengimbas tersebut turut direka dengan ciri cekap tenaga, iaitu 20 peratus lebih efisien berbanding sistem sebelumnya.
Ia menggunakan sistem penyejukan udara lanjutan yang mampu mengurangkan penggunaan tenaga serta mengoptimumkan operasi hospital.
Ciri tersebut selaras dengan komitmen Hospital Gleneagles Pulau Pinang terhadap kelestarian alam sekitar, selain membolehkan lebih banyak fokus diberikan kepada usaha menambah baik perkhidmatan penjagaan pesakit.
Dalam pada itu, Daniel berkata, Malaysia khususnya Pulau Pinang terus mencatat pencapaian membanggakan dalam bidang kesihatan apabila berjaya menerajui kemajuan teknologi pengimejan perubatan di rantau ini.
"Pengenalan peralatan pengimejan perubatan berteknologi tinggi itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan rakyat menerima rawatan yang lebih cekap dan tepat.
"Penggunaan peralatan canggih ini akan memberi manfaat besar kepada pesakit melalui proses diagnosis yang lebih pantas dan tepat serta pengalaman imbasan yang lebih selesa dan efisien,” katanya.