JOHOR BAHRU - Tujuh lelaki dan seorang wanita dikenali sebagai ‘Bella’ yang tular di media sosial mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat atas pertuduhan memukul, mengurung dan mengugut bunuh seorang pemuda, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19 dan Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama dua lagi individu masih bebas, mengurung, melakukan ugutan jenayah bunuh dan melakukan pemerasan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Rizwan, 22, sehingga mangsa bersetuju membayar RM650 dan menyerahkan kunci motosikal.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506, Seksyen 384, Seksyen 323 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Nur Fatihah Mohd Nizam.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahin Mohd Yazid dan T Nadarajan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Norfarahin bagaimanapun merayu supaya mahkamah mengenakan jamin yang rendah terhadap anak guamnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM16,000 terhadap tujuh lelaki manakala Bella RM14,000 dengan seorang penjamin.
Pada masa sama, mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada Selasa lalu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seorang pemuda dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Plentong Baru, di sini.
Video berdurasi antara satu hingga dua minit itu menunjukkan mangsa dalam keadaan lemah dan tidak melawan, dipukul bertubi-tubi oleh kira-kira lima hingga tujuh individu.
Akibat kejadian itu, mangsa yang berasal dari Kluang mengalami kecederaan dan menerima tiga jahitan pada bibir serta enam jahitan di telinga kiri selain mengalami bengkak pada badan.