Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus memperkukuh peranan belia pekebun kecil melalui Program Generasi Muda Pekebun Kecil (GEMPAK).
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, program tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi yang disasarkan kepada golongan belia.
Menurutnya, penglibatan generasi muda dalam bidang pertanian sangat penting, khususnya industri getah yang merupakan penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui sektor komoditi.
"Setakat ini di Perak, seramai 600 belia pekebun kecil yang terlibat dengan program tersebut.
"Program GEMPAK RISDA merupakan platform pemerkasaan belia pekebun kecil yang berumur antara 18 hingga 40 tahun, bukan hanya memfokuskan kepada kemahiran pertanian, malah merangkumi pelbagai bidang lain selari dengan keperluan semasa melalui kursus latihan serta bimbingan teknikal dan vokasional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program GEMPAK RISDA yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Permai, Bidor pada Khamis. Hadir sama, Pengarah RISDA Negeri Perak, Ahmad Zaki Abdullah.
Mengulas lanjut, menurut Manndzri, melalui kolaborasi institusi pengajian seperti Malaysia-China Institute dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), belia pekebun kecil turut diberi peluang kepada latihan teknikal berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertaraf antarabangsa.
Tambahnya, golongan belia tidak boleh terus menumpukan peluang di bandar semata-mata, sebaliknya mengambil peluang yang tersedia dikawasan luar bandar dengan bimbingan dan sokongan daripada RISDA.
Program dianjurkan oleh RISDA Perak pada Khamis menghimpunkan pelbagai pihak termasuk wakil komuniti dan agensi kerajaan, mencerminkan usaha menyeluruh dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara inklusif.
"Dengan pendedahan awal kepada kemahiran, kita yakin mereka akan menjadi generasi penerus yang mampu memodenkan sektor getah dan menjana pendapatan yang mampan.
"Program GEMPAK RISDA ini bukan sekadar nama, malah ia adalah lambang kebangkitan generasi belia pekebun kecil yang berdaya saing,” katanya.