TAPAH - Keluarga kepada Allahyarham Ishsam Shahruddin terkilan apabila akademi bola sepak yang diasaskan oleh bekas penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning itu disalah guna dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Anak sulung, Muhammad Isnabil Ishsam berkata, acara perlawanan bola sepak tiga penjuru yang disertai ahli politik pembangkang itu dikesan menerusi satu hantaran dalam aplikasi Facebook pada Khamis.
"Apa yang mengejutkan, poster awal bagi acara tersebut telah menggunakan nama kelab bola sepak Veteran AYBI (Akademi Yang berhormat Ishsam) iaitu kelab yang ditubuhkan oleh ayah saya.
"Penggunaan nama ini dibuat tanpa sebarang kebenaran atau pengetahuan daripada pihak keluarga kami," katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, perkara itu telah menimbulkan kekeliruan seolah-olah menunjukkan penglibatan atau sokongan rasmi pihak kami terhadap kempen parti politik tersebut.
Lebih mengelirukan setelah beberapa pihak mula mempersoalkan penggunaan nama Veteran AYBI, hantaran tersebut telah diturunkan dan hantaran baru dimuat naik dengan poster yang telah diubah dengan menggantikan nama kelab lain.
"Tindakan itu seolah-olah cuba menutup pelanggaran asal yang telah dilakukan. Namun, usaha ini tetap tidak mengubah hakikat bahawa nama asal kelab kami telah disalah guna," katanya.
Muhammad Isnabil berkata, satu laporan polis telah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
"Tujuan laporan ini dibuat untuk memohon siasatan dan tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan nama kelab yang diasaskan oleh Allahyarham ayah saya.
"Saya menuntut supaya semua bahan promosi yang telah dan sedang digunakan sama ada dengan nama asal Veteran AYBI mahupun nama yang telah ditukar itu dihentikan serta-merta dan diturunkan dari semua platform.
"Pihak kami juga berharap sebaiknya dibatalkan penganjuran tersebut oleh pihak berkuasa," katanya.