JBPM sasar tubuh 500 pasukan bomba sukarela

Iklan
Nor Hisham (tengah) pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena, pada Khamis.

BUTTERWORTH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan penubuhan 500 pasukan bomba sukarela (PBS) yang aktif di seluruh negara menjelang 2030 sebagai langkah memperkukuh sistem keselamatan komuniti.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, setakat ini sebanyak 375 PBS telah berjaya ditubuhkan dan pihaknya berharap semua pasukan sedia ada kekal aktif dalam memberikan bantuan kecemasan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sasaran berkenaan sasaran tersebut sejajar dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang telah diluluskan baru-baru ini, yang antara lain memperkasa usaha menambah PBS di seluruh negara.

"Penubuhan PBS baharu itu adalah antara usaha untuk memendekkan tempoh masa bertindak terhadap panggilan kecemasan.

Iklan

"Selain itu ia juga dapat meningkatkan semangat sukarelawan khususnya dalam komuniti Bandar," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena, pada Khamis.

Nor Hisham turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan antara jumlah PBS paling aktif dengan 38 pasukan sukarela yang kini beroperasi di negeri itu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) membolehkan JBPM mengambil alih sepenuhnya urusan pendaftaran dan pemantauan PBS daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

"Melalui pindaan ini, kita dapat mengurus PBS dengan lebih tersusun.

"Sebelum ini, terdapat kekangan dalam aspek penguatkuasaan, terutamanya apabila sesebuah pasukan dibubarkan.Tiada peruntukan jelas mengenai pengurusan aset dan harta pasukan berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis yang diadakan, Nor Hisham berkata, seramai 47 anggota bomba menerima Pingat Perkhidmatan Bomba manakala 67 individu dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Selain itu, JBPM turut menyampaikan sijil Perkhidmatan 30 Tahun kepada lapan pegawai sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan.