TAPAH - Dengan baki kempen dua hari, seruan kepada anak perantau untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu ini semakin kuat bergema.
Bukan sahaja daripada calon dan jentera parti, malah daripada masyarakat akar umbi yang mahu melihat Ayer Kuning terus berkembang di bawah kepimpinan yang mereka pilih sendiri.
Dalam tinjauan dilakukan, rata-rata menyifatkan suara anak perantau tetap penting dalam menentukan hala tuju pembangunan kawasan, walaupun mereka tidak menetap di kampung halaman.
Peranan mereka besar dalam menentukan pembangunan kawasan sendiri dengan maksud lain, hanya pengundi tempatan yang boleh memilih calon paling sesuai untuk mewakili suara rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yakin, jentera setiap parti telah menyebarkan maklumat kepada pengundi luar menerusi media sosial dan aplikasi pesanan agar mereka sedar pentingnya pulang untuk mengundi.
"Media pun dialu-alukan membuat hebahan kerana kita sangat memerlukan mereka balik dan mengundi," katanya.
Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan berkata, walaupun ramai anak muda merantau ke bandar atas faktor pekerjaan dan pengajian, tanggungjawab mengundi tidak harus dipandang ringan.
Justeru katanya, jentera parti sedang giat menggerakkan usaha 'membawa pulang' pengundi luar khususnya yang dikenal pasti sebagai pengundi putih.
Timbalan Presiden MIC itu berkata, langkah tersebut diambil sebagai strategi awal untuk memastikan kehadiran maksimum terutama kumpulan yang cenderung menyokong calon Barisan Nasional (BN).
"Kita telah mengenal pasti pengundi putih dan sebahagian besarnya memberitahu mereka rela datang. Walaupun baru pulang ke kampung halaman untuk hari raya, mereka mahu balik untuk tunaikan hak," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Mah Hang Soon mengakui, cabaran terbesar adalah menyakinkan perantau untuk balik mengundi.
"Untuk mengatasi cabaran itu, MCA telah menggunakan saluran parti di kawasan berhampiran, termasuk Gopeng, Tanjung Malim dan Kampar untuk mengajak pengundi Ayer Kuning balik mengundi," katanya.
Hak sebagai pengundi
Dalam pada itu, pengundi luar yang dihubungi sudah membuat persiapan untuk pulang mengundi, walaupun terpaksa mengambil cuti khas.
Penjawat awam, Muhammad Akid Azfar Hamid Latif, 26, membuat keputusan pulang mengundi.
Baginya, mengundi dalam pilihan raya adalah satu usaha untuk mengubah atau mengekalkan kerajaan yang sedia ada demi pentadbiran negeri dan negara yang lebih baik.
"Dalam hidup ini kita buat apa yang kita mampu. Jika tak buat semua, jangan kita tinggal semua," katanya yang bekerja di Selangor.
Sedar akan hak sebagai pengundi merupakan satu amanah menjadi alasan kukuh kepada Mohd Hafidz Mohd Alias, 38, untuk pulang mengundi pada PRK DUN Ayer Kuning ini.
Pekerja swasta yang menetap di Ipoh itu berkata, setiap kehendak rakyat sama ada mahukan perubahan atau pemimpin yang betul, semuanya bermula dengan undi.
"Kalau kita sendiri tak turun mengundi, macam mana suara kita nak didengar? Jadi bagi saya, undi itu satu langkah kecil yang boleh bawa impak besar," katanya.
Saranan balik mengundi turut menjadi tanggungjawab ibu bapa terutama melibatkan anak-anak yang mempunyai komitmen kerja tinggi.
Menurut Selamah Muhamad, 62, dia menghubungi ketiga-tiga anaknya seminggu awal mengingatkan mereka untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih.
Katanya, tiga anaknya berusia 28, 31 dan 38 tahun menetap di Negeri Sembilan, Selangor dan Teluk Intan kerana bekerja di sana sejak beberapa tahun lalu.
"Saya gembira apabila mereka bersetuju untuk balik ke sini dan menunaikan kewajipan sebagai seorang pengundi yang bertanggungjawab," katanya.
Suri rumah itu berkata, setiap undian amat penting dalam menentukan pembangunan kawasan termasuk penempatan mereka di Kampung SC Redang Ponggor.
Bagi Sadiah Mon, 67, dia turut menasihatkan anak lelakinya berusia 36 tahun yang bekerja di Rawang, Selangor turut mengambil bahagian menjadi pemilih.
"Saya nasihat dia untuk balik mengundi dan guna kuasa untuk pilih wakil rakyat baharu. Lagipun proses membuang undi tidaklah mengambil masa yang lama.
"Menjadi pemilih ini adalah wajib dan PRK bukanlah selalu berlaku. Jadi suasananya sangat berbeza berbanding pilihan raya umum (PRU),” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar dengan 56 peratus daripadanya pengundi Melayu, Cina (22 peratus), India (14 peratus) dan lain-lain (lapan peratus).
Kempen semakin rancak menjelang baki dua hari lagi sebelum hari pengundian, Sabtu ini.
Pengundi muda wakili 40 peratus daftar pemilih
TAPAH - Golongan pengundi muda digesa untuk tampil menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan berlangsung Sabtu ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengundi muda merupakan komponen penting dalam PRK kali ini, memandangkan mereka merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih di kawasan berkenaan.
"Pengundi baharu ini mesti memahami tanggungjawab kepada negara sebagai warganegara.
"Jika mereka mahu melihat kesinambungan, mahu melihat kerajaan ini stabil, maka mereka mesti jalankan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.
Menurut beliau, peratusan keluar mengundi yang tinggi, terutama dalam kalangan pengundi muda, akan menjadi petunjuk jelas terhadap sokongan rakyat kepada kestabilan politik dan kepimpinan yang baik.
"Kita tidak mahu lihat kedatangan bawah daripada 50 peratus. Kalau boleh, kita hendak lihat supaya peratusan kehadiran atau pembuangan undi itu melebihi 70 peratus," ujarnya.
Mohamad berkata lagi, jumlah kehadiran yang tinggi akan membantu memberi mandat kukuh kepada wakil rakyat yang bakal dipilih, sekali gus mencerminkan kekuatan sokongan rakyat tempatan terhadap kerajaan sedia ada.
"Jumlah peratusan ini akan membawa kemenangan dengan sokongan majoriti daripada rakyat setempat. Jadi, kepada anak muda yang berada di luar kawasan, baliklah dan jalankan tanggungjawab anda," tegas beliau.
APA KATA CALON
Pulanglah anak jati Ayer Kuning, jalankan tanggunjawab anda semua demi kemajuan dan pembangunan di sini. Ingatlah waris-waris dan saudara mara yang menetap di Ayer Kuning." - Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir
"Kita merayulah untuk mereka balik. Hasil daripada kempen-kempen kita kepada ibu bapa yang ada, mereka berikan komitmen untuk anak anak mereka pulang untuk mengundi." - Calon PN, Abd Muhaimin Malek.
"Kami berharap anda akan pulang untuk mengundi pada PRK Sabtu ini. Undi anda adalah penting dan saya merayu anda akan undi untuk perubahan dan pembangunan Ayer Kuning demi nasib ibu bapa kita. Jom balik untuk mengundi." - Calon PSM, Bawani KS