KUALA TERENGGANU - Pekerja terdiri daripada ahli keluarga atau saudara-mara antara alasan paling kerap diberikan oleh kebanyakan majikan yang didapati tidak mencarum di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO Terengganu, Suhara Mustaffa berkata, kebanyakan majikan yang memberikan alasan sedemikian beroperasi dalam sektor makanan dan minuman serta menggaji pekerja secara sambilan untuk tempoh yang singkat.
"Sepanjang Program Ops Pemutihan dijalankan kita mengesan 10 peratus daripada 171 majikan yang diperiksa masih belum berdaftar dengan PERKESO.
"Antara alasan yang paling kerap diberitahu ialah mereka menggajikan pekerja terdiri daripada saudara-mara, maka tidak perlu didaftarkan.
"Sedangkan undang-undang tidak mengecualikan majikan daripada tanggungjawab mencarum hanya kerana hubungan kekeluargaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri PERKESO Terengganu di sini, pada Rabu.
Jelasnya, setakat ini, lima sesi pemutihan telah dijalankan bermula dari Besut hingga ke Dungun dengan penglibatan 30 pegawai dan kakitangan PERKESO negeri.
Katanya lagi, sebanyak 75 peratus daripada premis yang dikenal pasti telah memberi maklum balas positif dan hadir untuk mendaftar secara sukarela.
Dalam pada itu, Suhara berkata, penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Ops Kesan yang dijadual berkuatkuasa bermula Mei depan.
Katanya, fasa penguatkuasaan akan bermula bagi memastikan pematuhan terhadap kewajipan pendaftaran dan caruman oleh majikan.
"PERKESO menyeru semua majikan agar segera membuat pendaftaran bagi mengelak sebarang tindakan.
"Majikan sudah diberi ruang dan masa. Kini tiada lagi alasan pekerja saudara mara sekalipun, tetap perlu dilindungi mengikut undang-undang," ujarnya.