Gangguan air 60 jam: Tong air, plastik laris di Pulau Pinang

Iklan
Nurul Husna membeli dua buah tong bersaiz sederhana sebagai persiapan untuk menghadapi gangguan bekalan air bermula Jumaat ini.

GEORGE TOWN - Pengumuman Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengenai gangguan bekalan air berjadual bermula Jumaat ini menyebabkan penjualan tong air melonjak di seluruh negeri ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis peralatan rumah dan barangan plastik mendapati pengguna mula membeli tong air pelbagai saiz sebagai langkah awal bagi menghadapi gangguan sehingga 60 jam itu.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga barangan plastik, Giselle Goh, 33 berkata, sejak pengumuman PBAPP pada Selasa, jualan tong air pelbagai saiz di kedainya meningkat lebih 50 peratus.

"Biasanya kami jual kira-kira 10 hingga 15 buah tong air sehari tetapi sejak semalam, lebih 50 buah telah terjual. Ramai pelanggan datang mencari tong air besar, ada yang beli hingga lima tong sekali gus.

Iklan

"Mereka membeli pelbagai saiz dan yang paling laris adalah tong yang paling besar dan sederhana besar iaitu 172 liter dan 125 liter. Tong isi padu 125 liter sudah habis sejak pagi tadi," katanya ketika ditemui di premisnya di Paya Terubong di sini pada Rabu.

Tambahnya, selain tong air, pelanggannya juga memborong plastik bersaiz besar untuk diisi bekalan air.

Iklan

"Ramai pelanggan saya beli plastik juga, mereka kata jika beli tong, tak ada ruang untuk letak. Jadi mereka beli plastik yang sedikit tebal untuk mengisi air. Apabila ada bekalan air semula, plastik itu boleh digunakan untuk diletak sampah.

"Penjualan plastik juga laris sejak dua tiga hari ini. Yang bersaiz besar iaitu 48x55 inci sudah habis, tinggal yang sederhana dan kecil sahaja," katanya lagi.

Penjualan tong air dan plastik meningkat lebih 50 peratus di Pulau Pinang.

Seorang lagi pemilik premis menjual barangan plastik yang hanya mahu dikenali sebagai Chin berkata, tong bersaiz besar dan sederhana sudah habis dijual sejak Selasa.

Menurutnya, stok tong baharu hanya akan sampai pada minggu hadapan.

"Sudah habis dijual. Memang pelanggan memborong, ada yang beli lebih daripada dua buah tong. Mereka semua bimbang dengan gangguan bekalan air pada Jumaat nanti.

"Saya sudah pesan stok tong baharu tetapi minggu depan baru sampai. Saya tak sangka selaris ini kerana tahun lalu, sudah ramai yang datang beli. Mungkin kali ini, pelanggan dari sebelah daerah Barat Daya datang membeli kerana mereka yang paling terkesan pada kali ini," katanya.

Darul Hisham memborong dua buah tong air bersaiz besar dan plastik untuk menyimpan air di rumahnya.

Sementara itu, kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM), Darul Hisham Yusof, 60 berkata, selain tong air, plastik bersaiz besar turut dibelinya untuk persediaan menyimpan air.

"Saya hari ini beli dua buah tong besar iaitu 172 liter dan plastik besar. Ini semua untuk kegunaan isteri dan anak-anak. Walaupun ada tangki air, tetapi bersedia lebih awal tidak salah.

"Saya dah kena (hadapi ketiadaan air) tahun lepas. Tak mahu perkara yang sama berulang. Jadi beli siap-siap," katanya.

Dia yang tinggal di Sungai Dua berkata, air yang diisi dalam plastik hanya akan digunakan untuk membasuh pakaian.

"Air yang disimpan di dalam plastik akan digunakan untuk basuhan sahaja. Bukan untuk minum atau memasak kerana saya sedar, plastik mengandungi bahan kimia.

"Walaupun pengumuman mengatakan gangguan antara 48 hingga 60 jam, persediaan yang cukup sangat perlu kerana air merupakan keperluan hidup," katanya.

NURUL HUSNA

Suri rumah, Nurul Husna Azmi, 30 berkata, sebanyak dua buah tong bersaiz sederhana dibelinya untuk kegunaan keluarganya.

"Saya saja beli dua buah tong untuk persediaan. Risau juga kalau bekalan yang sudah disimpan tak cukup.

"Lagi pun, saya akan mengadakan sedikit jamuan hari raya pada hujung minggu ini. Jadi perlu persediaan rapi untuk keselesaan tetamu nanti," ujarnya.

Terdahulu, PBAPP memohon pengguna yang akan terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual bermula Jumaat ini untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan selama 24 hingga 60 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, 40 peratus atau 136,683 daripada 341,708 akaun pengguna di semua kawasan yang terjejas di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Timur Laut (DTL) di bahagian pulau dijangka mengalami gangguan bekalan selama 24 jam.

Tempoh gangguan bekalan bagi 163,502 atau 48 peratus akaun pengguna di Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas kecuali Kampung Sungai Baong, Kampung Wellesley, Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Duri dan Kompleks Kuarters Penjara Seberang Perai dijangka berlaku selama 48 jam.

Seramai 41,523 atau 12 peratus pengguna di semua kawasan di Barat Daya (DBD) kecuali Balik Pulau (kejiranan di bahagian selatan), Gertak Sanggul, Kampung Terang, Pulau Betong and Sungai Ara dijadual mengalami gangguan bekalan selama 60 jam hingga 10 malam Ahad.