SHAH ALAM - Seramai 5,081 keluarga di Selangor berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan hasil bantuan zakat berjumlah RM1.19 bilion sepanjang tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Khaidzir Shahari berkata, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan program pembangunan menyeluruh melibatkan bantuan modal permulaan, sokongan kewangan, insentif kerjaya dan bantuan pendidikan (dermasiswa).
"Ini bukan sekadar angka, tetapi kisah tentang maruah dan keupayaan hidup berdikari kerana mereka kini menyumbang semula kepada masyarakat dan tidak lagi bergantung kepada bantuan,” katanya semasa membentangkan Laporan dan Prestasi Kutipan dan Agihan LZS di Menara Zakat Sultan Idris Shah, di sini pada Rabu.
Mohd Khaidzir memberitahu, pada tahun lalu menyaksikan pertumbuhan kutipan zakat sebanyak RM1.22 bilion, meningkat sembilan peratus berbanding tahun 2023.
Jelasnya, peningkatan melebihi RM1 bilion yang melepasi paras kutipan dan agihan tahun ketiga berturut-turut itu adalah hasil sumbangan lebih 380,000 pembayar zakat di seluruh Selangor.
Katanya, majoriti kutipan, iaitu sebanyak RM712 juta atau hampir 60 peratus, disumbangkan oleh golongan berpendapatan tetap dengan saluran potongan gaji kekal sebagai penyumbang utama.
"Lonjakan ini mencerminkan kejayaan transformasi pendigitalan kami dalam tempoh sedekad lalu,” ujarnya.
Bagi aspek agihan, katanya, sebanyak RM780 juta atau 66 peratus daripada jumlah keseluruhan diagihkan kepada pembangunan sosial, termasuk keperluan asas harian, tempat tinggal, perubatan dan bil utiliti.
"Lima kategori utama agihan zakat sepanjang 2024 meliputi bantuan kewangan bulanan (RM252 juta), perumahan (RM166 juta), perubatan (RM60 juta), kecemasan (RM74 juta) dan bantuan bermusim (RM33 juta).
"Lebih 370,000 penerima manfaat dibantu, termasuk peningkatan 19 peratus dalam kalangan keluarga miskin berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Tambahnya, selain pembangunan sosial, LZS turut memberi fokus kepada pembangunan pendidikan (RM194 juta), ekonomi (RM14 juta), insan (RM24 juta) dan institusi agama (RM26 juta).
"Pembangunan pendidikan mencatat peningkatan 30 peratus, membuktikan kejayaan usaha memperkasa generasi kedua asnaf untuk keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, LZS menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM1.328 bilion, selaras dengan pertumbuhan ekonomi semasa dan peningkatan kesedaran umat Islam di negeri ini untuk menunaikan kewajipan berzakat.
"Ini adalah hasil kepercayaan kolektif masyarakat dan aspirasi bersama untuk membina masyarakat lebih adil dan sejahtera,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail memaklumkan, LZS berhasrat memiliki piawaian pengurusan global yang setanding dengan institusi terbaik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
"Misi kami adalah untuk berkhidmat dengan integriti dan profesional, terutamanya dalam aspek kutipan dan agihan zakat kerana ia sangat penting,” katanya.
Jelasnya, LZS akan memastikan setiap sen yang dikutip diagihkan dengan berkesan kepada golongan yang layak.
"Apa sahaja yang dikutip mesti diagihkan, kecuali bahagian kecil untuk pengurusan.
"Sebab itu kami melabur secara signifikan dalam menaik taraf sistem IT (teknologi maklumat),” katanya.