Kedah pantau penipuan permohonan tanah, elak kerugian

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memantau proses permohonan tanah kerajaan bagi mengelak kehilangan hasil negeri akibat penipuan maklumat oleh pemohon yang tidak jujur.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mengesan trend segelintir pemohon yang sengaja meletakkan nama isteri tidak bekerja atau berpendapatan rendah bagi tujuan mendapatkan kadar premium tanah lebih murah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pejabat tanah akan menjalankan siasatan terhadap setiap permohonan dan menilai semula kelayakan pemohon secara terperinci bagi memastikan hanya golongan benar-benar layak menerima manfaat tersebut.

"Ada kontraktor duit berkepok (banyak), tapi letak nama isteri suri rumah sebagai pemohon. Tujuannya untuk letakkan pendapatan bawah RM1,700 supaya layak terima premium tanah rendah," katanya ketika menjawab soalan lisan Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) yang bertanyakan kutipan hasil bagi tahun 2024, di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Iklan

Muhammad Sanusi mengingatkan agar pemohon jujur ketika mengisi borang permohonan agar lebih adil kepada kerajaan negeri.

"Pemohon kena jujur. Kalau orang miskin mohon tanah, RM10 pun kita boleh bagi. Tapi bila orang kaya buat-buat susah, itulah yang jadi masalah. Kita tak mahu hasil negeri hilang sebab maklumat palsu,” tegasnya.

Iklan

Menurutnya, penipuan seperti ini boleh merugikan kerajaan negeri apabila tanah tersebut dijual atau digadai selepas tempoh pegangan selama 10 tahun.

"Ada yang bayar premium RM5,000, lepas 10 tahun nilai tanah boleh cecah ratusan ribu. Itu tak adil kepada negeri.

"Penilaian ini dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sebagai agensi yang diberi mandat menilai kadar sebenar premium tanah,” ujarnya.

Tambah beliau, permohonan tanah kerajaan kini semakin berkurangan kerana banyak kawasan telah pun dimiliki atau diberikan melalui pajakan.

Terdahulu, Muhammad Sanusi memaklumkan, kutipan hasil negeri menunjukkan peningkatan yang konsisten setiap tahun.

"Kutipan hasil negeri RM596.1 juta pada tahun 2022, meningkat kepada RM629.04 juta pada 2023 dan mencapai kutipan tertinggi pada 2024 sebanyak RM769.5 juta.

"Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperkukuh sumber hasil negeri,” katanya.

Tambah beliau, bagi mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion menjelang tahun 2028, kerajaan negeri giat melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mengenal pasti sumber hasil baru yang berpotensi untuk menjana pendapatan negeri.

"Kita juga mengatur strategi untuk memungut hasil negeri yang masih tertunggak selain menambah baik garis panduan sedia ada untuk tingkatkan hasil negeri.

"Antaranya dengan melaksanakan semakan hasil tanah, menguatkuasakan kutipan duti hiburan bagi aktiviti hiburan yang belum dikenakan duti serta semakan semula kadar hasil bagi jabatan pemungut hasil,” katanya.


Kos tinggi tukar paip dasar laut Langkawi, berbanding pembaikan

ALOR SETAR - Kos menukar keseluruhan paip bekalan air dasar laut yang menyalurkan bekalan air kepada pengguna di Pulau Langkawi terlalu tinggi dan boleh mencecah bilion ringgit.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria berkata, disebabkan itu hanya kerja pembaikan paip bocor dilakukan pada ketika ini.

Menurutnya, sebanyak 42 lokasi kebocoran baru telah dibaiki oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) dengan kaedah pengapit bawah air sejak mengambil alih konsesi Taliworks Langkawi pada 1 November 2020.

"Penukaran keseluruhan paip dasar laut sepanjang 36 kilometer yang berusia hampir 30 tahun dari tanah besar ke Langkawi boleh mencecah bilion ringgit.

"Oleh itu, buat masa ini kita cuma belanja RM50 juta termasuk RM10 juta kos untuk perundingan manakala baki RM40 juta untuk kerja-kerja pembaikan,” katanya menjawab soalan tambahan Teh Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) mengenai anggaran menukar keseluruhan paip dasar laut ke Langkawi, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Mohamad Yusuf berkata, buat masa ini, kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan kebocoran dijalankan setiap dua minggu bergantung kepada cuaca dan keadaan air laut.

"Kos keseluruhan bagi kerja-kerja pembaikan dan pemeriksaan kebocoran baharu dan lama adalah sebanyak RM3.1 juta,” katanya.

Menurutnya lagi, SADA juga akan melaksanakan projek pembaikan paip dasar laut ke Langkawi bagi meningkatkan kestabilan bekalan air terawat di pulau tersebut.

"Projek itu berada dalam fasa akhir perolehan dan akan bermula Ogos depan sebelum dijangka siap pada Februari 2026 melibatkan pemasangan 19 unit pressure steel clamp; enam unit rubber patch stopper dan proses mencegah karat atau kakisan dengan menggunakan teknik perlindungan katodik,” ujarnya.

Mohamad Yusuf memaklumkan, kadar kebocoran yang tertinggi dicatatkan adalah sebanyak 55 peratus atau 33 juta liter sehari (MLD) kehilangan air berbanding 60 MLD pengeluaran air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Baru.

"Hasil pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kebocoran dapat menurunkan kadar kehilangan air kepada 27 peratus atau 16 MLD,” katanya.


Tubuh syarikat feri: Perlu kajian mendalam elak rugi

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan melakukan kajian mendalam sebelum menubuhkan syarikat perkhidmatan feri ke Langkawi bagi meningkatkan jaringan pengangkutan ke pulau legenda.

Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, kajian mendalam perlu dilakukan agar syarikat tersebut dapat beroperasi secara efektif selain tidak menjadi beban kewangan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, beberapa pendekatan strategik sedang diteliti antaranya menjalin kerjasama dengan syarikat feri alternatif yang bersedia memasuki pasaran, sama ada secara terus atau perkongsian pintar.

"Kebergantungan mutlak kepada satu penyedia perkhidmatan mewujudkan risiko struktur monopoli, yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan, fleksibiliti jadual, serta kemampuan untuk menawarkan tambang kompetitif.

"Namun penubuhan syarikat feri milik kerajaan negeri perlukan kajian teliti dari sudut kos operasi, daya saing komersial, urusan dan sokongan teknikal,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Rabu.

Dzowahir berkata, sekiranya kajian ini memberi gambaran positif, ia dapat membantu khususnya penduduk Langkawi selain menangani masalah feri tidak mencukupi.

"Ini dapat membantu orang ramai khususnya penduduk Langkawi yang sering berulang alik ke tanah besar.

"Dulu-dulu kalau pergi Langkawi boleh balik hari, kalau pergi pagi boleh balik petang atau boleh ambil feri malam. Sekarang kalau pergi Langkawi kena tidur satu malam.

"Kesian kepada penduduk Langkawi kalau perlu datang ke Alor Setar kecemasan atau perlu balik segera. Inilah antara rungutan penduduk Langkawi khususnya tentang jadual feri pada masa ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga turut mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) agar Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah dibina agak jauh dari kawasan pantai bagi mengelakkan masalah paras air cetek.

"Jika pindah ke tengah laut sedikit, selesai masalah yang kita hadapi sekarang ini. Tiada lagi isu air pasang surut. Faktor kedua ialah lokasi jeti sekarang semakin sibuk dengan bot-bot nelayan,” jelasnya.

Dzowahir berkata, rundingan turut diadakan bersama pihak berkaitan untuk meneliti semula dasar pelesenan dan kawal selia perkhidmatan feri, supaya lebih terbuka kepada penyertaan baharu.

"Isu ini bukan sahaja menyentuh soal keselesaan dan kebolehpercayaan pengguna, malah turut memberi implikasi kepada kestabilan industri pelancongan dan ekonomi tempatan, khususnya apabila berlaku gangguan atau kekangan operasi,” ujarnya.

Tambah beliau, ini antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan akses rakyat dan pelancong ke Langkawi tidak terganggu, selain meningkatkan kualiti pengangkutan laut ke pulau legenda.