Sudah beri, tetapi tidak dihalalkan pula? Berikut penjelasan hukumnya

Iklan
APABILA suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan, ia telah menjadi hak miliknya sepenuhnya dan dirinya boleh menggunakan harta itu sebagaimana dimahukan. -Foto: CANVA

KETIKA perasaan gembira bertamu dalam hati, semua benda dan hadiah mahu diberikan kepada orang lain, namun tatkala sedang bergaduh atau tidak sefahaman, habis segalanya diungkit.

Bahkan, ada yang tergamak mengatakan ‘Saya tak halalkan pemberian sebelum ini’.

Iklan
Iklan

Situasi itu menimbulkan rasa serba salah kepada si penerima lebih-lebih lagi jika bingkisan diberikan sebelum ini berupa makanan yang sudah pun menjadi darah daging kita atau dalam bentuk wang.

Andai si pemberi menyatakan tidak menghalalkan pemberian itu, apakah hukumnya? Adakah kita perlu membayar semula duit kos makanan dan memulangkan duit tersebut?

Iklan

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, apabila suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan, ia telah menjadi hak miliknya sepenuhnya dan dirinya boleh menggunakan harta itu sebagaimana dimahukan.

PEMBERI tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian itu dan penerima pula tidak wajib memulangkan semula apa yang sudah diberikan kepadanya. -Foto: CANVA

Iklan

"Sementara itu, pemberi pula sudah kehilangan hak miliknya terhadap wang yang diberi itu.

Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat banyak hadis yang melarang kita daripada meminta semula pemberian.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: "Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu iaitu mereka yang meminta semula pemberian (hibah) samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang lelaki memberi sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya. Misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan hingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

SEKIRANYA si pemberi mengatakan ‘Aku tidak menghalalkan pemberian’, ungkapan tersebut sebenarnya termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan pemerimanya. -Foto: CANVA

Sekiranya si pemberi tadi mengatakan ‘Aku tidak menghalalkan pemberian’, pejabat mufti itu mengingatkan, ungkapan tersebut sebenarnya termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan pemerimanya.

Bahkan katanya, perilaku itu diharamkan sama sekali dan boleh meluputkan pahala sedekah jariah.