UMNO Kelantan kecam kenyataan ADUN Melor, cabar ulang tuduhan di luar DUN

Iklan
Ahmad Jazlan

KOTA BHARU - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub mengecam kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud yang mengaitkan kenyataan Ketua Polis negeri dan Timbalan Ketua Polis Negara bermotifkan politik, sambil berlindung disebalik 'imuniti' Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dakwanya, Wan Rohimi telah secara melulu dan tidak cermat apabila menuduh Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara sengaja mengeluarkan kenyataan negatif tentang negeri ini untuk tujuan pilihan raya di Ayer Kuning, Tapah, Perak yang bakal berlangsung pada 26 April ini.

Iklan
Iklan

Ujarnya, Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara serta keseluruhan pasukan polis merupakan penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan dan bertugas untuk menjaga keselamatan negara maka adalah tidak wajar mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan tentang bidang tugas mereka dalam usaha memberi kesedaran dan membenteras jenayah dikalangan masyarakat.

"Dengan ini saya mengecam kenyataan ADUN Melor dan mencabar beliau untuk mengulang tuduhan ini sekali lagi di luar DUN bagi menunjukkan kebertanggungjawaban di atas kenyataan jahat yang memberi persepsi buruk kepada penjawat awam dan kerajaan Perpaduan pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Ahmad Jazlan memberitahu, beliau mengikuti perbahasan DUN pada Selasa melalui siaran YouTube Kelantan TV.

Antara kenyataan Wan Rohimi berbunyi,"22 Mac (2025) Ketua Polis Kelantan buat kenyataan Pempengaruh Usahawan Kosmetik jadi ketua sindeket jual dadah, tak dak data, tak dak fakta, Saya tertanya-tanya Ketua Polis ni nak menjual cerita sensasi ataupun nak menjadi penguatkuasa atau penjawat awam yang mempunyai disiplin tentang data?"

Iklan

Ditambah pula dengan kenyataan,"4 hari lepas, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayub Khan mengulang data yang sama, kita duk fikir bakpo yang bersungguh sangat dan mengambil satu cebisan yang kecil untuk memberikan gambaran yang salah, sebab itu saya kata kalau nak sebut, sebut semualah, bila kita tengok baru kita perasan oh barangkali hari Sabtu ni adalah pilihanraya Kecil bagi DUN Ayer Kuning."

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Wan Rohimi mendakwa beberapa kenyataan yang dikeluarkan polis Kelantan sebagai cubaan memberi gambaran negatif terhadap negeri ini.

Menurut Wan Rohimi (Pas), kenyataan terbabit dikeluarkan secara berturut-turut dan kelihatan seolah-olah disengajakan bagi menimbulkan persepsi bahawa Kelantan adalah negeri yang tidak selamat untuk didiami.