SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan pembayaran dam ibadah haji iaitu dengan menyembelih kambing oleh jemaah di luar tanah haram dibolehkan sekiranya pakar atau ulama dunia membuat ijtihad baharu berhubung perkara tersebut.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, ini kerana keputusan mengenainya bergantung kepada kesepakatan antara ulama antarabangsa memandangkan ia melibatkan isu dunia.
"Kalau ada ijtihad atau usaha untuk mendapatkan sesuatu kesimpulan baharu melalui kajian atau penyelidikan berdasarkan sumber dan kaedah yang sah daripada pakar-pakar dunia, kita terima sahajalah sebab benda ini (cadangan supaya pembayaran dam ibadah haji oleh jemaah boleh dibuat di negara masing-masing) bukan isu nasional tapi isu antarabangsa.
"Maksudnya kalau ulama-ulama dari seluruh dunia bersepakat dengan ijtihad itu maka kita terima sahajalah. Jadi, kita serah kepada kepakaran ulama antarabangsa untuk melaksanakan ijtihad tersebut.
"Ini kerana isu dam ibadah haji iaitu dengan menyembelih kambing ini merupakan isu antarabangsa dan fatwa mengenainya hanya boleh dibuat oleh mereka. Jadi kita serahkan kepada pihak yang ada autoriti untuk laksanakan tanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian.
Media pada Isnin melaporkan Menteri-Menteri Agama negara Asia Tenggara (MABBIM) telah bersepakat untuk mencadangkan kepada Arab Saudi supaya pembayaran dam ibadah haji oleh jemaah iaitu dengan menyembelih kambing, boleh dilaksanakan di negara-negara masing.
Malaysia dan Indonesia bersetuju berkaitan kaedah pembayaran dam itu bagi memastikan kelancaran dan jumlah daging dapat diagihkan dengan lebih teratur, telus dan efisien kepada penerima.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu dibincangkan ketika pertemuan rasmi beliau dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden di Jakarta pada Isnin.
Sementara itu, ditanya mengenai asas kepada cadangan tersebut yang bertujuan untuk membantu lebih ramai asnaf tempatan mendapat manfaat daripada daging korban, Mohamad Sabri berkata, perkara berkenaan merupakan antara salah satu hikmahnya.
"Bagi saya apabila pihak yang ada autoriti keluarkan pandangan, maka perkara tersebut boleh dilaksanakan. Jadi, mekanisme dan hikmahnya ada di situ.
"Kita lihat dengan adanya ijtihad tersebut sebagai nilai tambah kerana yang paling penting ia diputuskan oleh orang yang ada autoriti dan perkara tersebut dinilaikan dalam segala segi,” katanya.
Pembayaran dam adalah denda yang wajib dilunaskan oleh jemaah melakukan perkara-perkara melanggar syarat-syarat ketika menunaikan ibadah haji atau umrah.
Untuk rekod, setiap tahun sejumlah 220,000 ekor kambing disembelih oleh jemaah haji Indonesia, manakala lebih 40,000 ekor kambing oleh jemaah Malaysia untuk urusan pembayaran dam ibadah haji.