YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan terus memantau perkembangan rawatan pemenang pingat emas acara jalan kaki Sukan Komanwel 1998 (SUKOM 98), G Saravanan yang menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND).
Pengerusinya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail akan turut berbincang dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengenai kaedah rawatan berkesan buat bekas atlet berusia 55 tahun itu.
Beliau berkata, YAKEB menerusi ahli lembaga pengarahnya, Dr Munawar Helmi Salim akan mengikuti secara dekat proses tersebut untuk memastikan segala proses rawatan berjalan dengan baik.
"Saravanan sudah pulang ke kampungnya di Pulau Pinang selepas menjalani proses rawatan di PPUM. Penyakit yang dihadapi bekas atlet itu jarang berlaku dan sukar dijelaskan aspek rawatannya.
"Malah Saravanan juga sudah menjalani rawatan alternatif di India pada tahun lalu. Pertemuan dengan PPUM bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kemudahan perubatan sesuai dan beliau akan terus dirawat sehingga kesihatannya beransur pulih," katanya ketika sidang media di Bukit Kiara pada Selasa.
Saravanan dilaporkan menghidap MND iaitu penyakit menyebabkan kelemahan otot dan tiada penawar sejak tahun 2021.
Ahmad Shapawi menjelaskan bahawa bantuan yang disalurkan adalah berdasarkan kemampuan kewangan YAKEB termasuk elaun sara hidup buat Saravanan untuk tempoh enam bulan.
"YAKEB pada 2023 membantu Saravanan untuk mendapatkan kontrak kerjaya bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, selain menguruskan permohonan pencet ilat dari PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan telah berjaya diluluskan," katanya.
Saravanan 27 tahun lalu menarik perhatian peminat apabila melupakan kesakitan kekejangan otot untuk meneruskan saingan hingga ke garisan penamat untuk meraih pingat emas.
Kilauan emas itu adalah yang ke-10 buat kontinjen negara yang menyaksikan Malaysia menamatkan SUKOM 98 di tempat keempat.