PUTRAJAYA - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan terus berusaha menjunjung tinggi integriti dan tadbir urus yang baik.
Menerusi Majlis Tatakelola Cemerlang dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), HRD Corp akan meneruskan pendirian sifar toleransi terhadap rasuah dan dedikasinya untuk memperkukuh budaya kerja yang telus, bertanggungjawab serta beretika.
Pengerusinya, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pendirian tersebut penting untuk membina budaya kerja berintegriti tinggi melalui kepimpinan berinstitusi yang penuh bertanggungjawab.
Menurutnya, acara itu menandakan langkah proaktif HRD Corp dalam memperjuangkan tadbir urus yang kukuh dalam memerangi amalan salah laku terutama sekali berkaitan risiko rasuah.
"HRD Corp akan terus memperkukuh sistem yang menyokong ketelusan dan akauntabiliti di semua peringkat.
"Kami juga berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang bukan sahaja menggalakkan integriti tetapi juga sebagai nilai teras dalam organisasi kami,” katanya dalam Majlis Tatakelola Cemerlang dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang berlangsung di Dewan Serbaguna KESUMA baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Lafaz Ikrar Bebas Rasuah tersebut telah diketuai Abu Huraira dengan disertai Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Jawatankuasa Kepimpinan Kanan dan wakil-wakil jabatan.
Majlis tersebut telah menghimpunkan lebih 100 peserta dalam kalangan warga HRD Corp untuk meningkatkan amalan tadbir urus, mencegah penyalahgunaan kuasa dan salah laku serta memastikan pematuhan penuh terhadap seruan kerajaan.
Turut berlangsung dalam majlis tersebut adalah penyerahan Buku Panduan Integriti HRD Corp kepada Azam yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Buku panduan itu akan diedarkan kepada warga HRD Corp sebagai sebahagian daripada usaha berterusan organisasi untuk menanamkan nilai-nilai etika dan memperkukuh perjuangan dalam memerangi rasuah.