[VIDEO] Lencana Jalur Gemilang dicadang diperluas ke Tabika Perpaduan

Iklan

SUNGAI PETANI - Kementerian Perpaduan Negara mencadangkan agar pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah turut diperluaskan kepada taman bimbingan kanak-kanak (tabika) perpaduan di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, cadangan itu dilihat sebagai langkah yang baik bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak sejak usia awal.

Aaron Ago Dagang (tiga dari kiri) ketika merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di Central Square Sungai Petani pada Selasa.

"Pemakaian lencana Jalur Gemilang boleh dicadangkan untuk kanak-kanak. Ia akan menanamkan minat serta semangat patriotik terhadap negara.

Iklan

"Setakat ini, kita mempunyai seramai 34,654 orang kanak-kanak berdaftar di 781 buah tabika perpaduan dan 990 orang kanak-kanak berdaftar di 41 buah taska perpaduan seluruh negara,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di Central Square, di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi Baucar Buku Semarak Membaca Tahun 2025.

Aaron Ago Dagang (duduk, tengah) ketika merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di Central Square Sungai Petani pada Selasa.

Mengulas lanjut, Aaron menyarankan agar sektor awam dan swasta bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam seragam masing-masing.

Bagaimanapun katanya, bagi penjawat awam, ketika ini sudah terdapat Pekeliling Pembudayaan Amalan Patriotisme Taat Setia Penjawat Awam yang berkuat kuasa mulai tahun ini.

"Ia merangkumi pelaksanaan nyanyian lagu Negaraku dan lafaz Ikrar Rukun Negara di semua kementerian dan agensi, Kursus Pengukuhan Sejarah Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan, serta Program Menghargai Negarawan.

"Selain itu, amalan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang tahun, penganjuran program memartabatkan Bahasa Melayu, mewujudkan galeri patriotik serta pemakaian pakaian etnik dalam majlis rasmi turut digalakkan,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa semua murid di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah masing-masing secara berperingkat bermula Isnin lalu.