TAPAH - Memasuki minggu terakhir kempen, jentera ketiga-tiga calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan melakukan pecutan bagi memastikan momentum sokongan pengundi terus meningkat.
Bagi calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir, tugasnya menyantuni seramai mungkin pengundi akan diteruskan malah kunjungan ke 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga berjalan bagi pusingan kedua.
Segala permasalahan serta pandangan penduduk diberikan perhatian serius oleh calon yang mesra disapa Ustaz Yusri sepanjang menyantuni masyarakat setempat ketika minggu pertama kempen.
Kemesraan Ustaz Yusri yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama penduduk tanpa mengira kaum membayangi susuk tubuh Allahyarham Ishsam Shahruddin ketika bergelar ADUN Ayer Kuning.
Bagi calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek pula, jadual kempen bermula sebelum subuh sehingga hampir tengah malam begitu melelahkan sejak dari awal hari penamaan calon lagi.
Jentera kempen PN yang diketuai Pas juga sangat berhati-hati dalam mengutarakan isu bagi mengelak dimanipulasi lawan malah cubaan membawa isu kerjasama UMNO-DAP pada peringkat awal tampak sukar diterima pengundi tempatan.
Keadaan ini memaksa Pas yang dilihat bersendirian mencari isu setempat untuk dimainkan bagi mempengaruhi sokongan pengundi di Ayer Kuning yang majoritinya terdiri daripada pengundi Melayu.
Belum pun sempat mencari isu, calon mereka berdepan dakwaan isu tauliah mengajar agama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sehingga dinasihatkan tidak menjalankan aktiviti kuliah atau syarahan di masjid atau surau sebagai menghormati pekeliling dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.
Tindakan menggunakan gambar seorang ahli UMNO tanpa kebenaran dalam bahan kempen oleh PN juga mengundang padah apabila mereka terpaksa membuat permohonan maaf selepas laporan polis dibuat terhadap isu tersebut.
Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS pula menjadi calon pertama mengemukakan manifesto dengan mengutarakan tiga agenda utama iaitu Pembangunan Seimbang dan Sekata, Kemudahan Asas Mencukupi serta Pihak Berkuasa Tempatan Yang Cekap.
Kempen calon kitar semula itu masih berkisar tentang perjuangan PSM berkaitan pertanian, tanah adat Orang Asli, peluang pekerjaan anak muda dan sebagainya yang kebanyakannya sudah ditangani oleh kerajaan negeri.
Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dilihat sudah meliputi pelbagai isu yang dibangkitkan calon sama ada perancangan, pembangunan serta pelaksanaan dalam memajukan negeri Perak.
Berdasarkan situasi semasa, BN dilihat berada di depan berbanding dua lagi calon lain hasil kerjasama erat parti-parti Kerajaan Perpaduan yang diamanahkan menjaga PDM seperti ditetapkan.
Perkara itu dipersetujui Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian yang berpandangan dalam minggu pertama kempen dapat dilihat dengan ketara BN masih mendominasi.
Menurutnya, tumpuan utama kempen pada peringkat awal tertumpu kepada usaha mendekati pelbagai segmen pengundi, terutamanya pengundi atas pagar dan pengundi muda yang membentuk hampir 46 peratus daripada keseluruhan pengundi di kawasan tersebut.
"Persaingan jelas antara BN dan PN. Pengundi muda menjadi kelompok yang cuba didekati oleh kedua-dua pihak. Kelompok ini berpotensi menjadi penentu kepada majoriti kemenangan kelak.
"Minggu pertama kita nampak usaha untuk mengalihkan sokongan pengundi PH (Pakatan Harapan) kepada BN, satu langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan BN yang bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.
Beliau turut menjangkakan bahawa isu tempatan akan lebih mendominasi kempen berbanding isu nasional dalam minggu terakhir kempen.
Jelasnya, keadaan itu memberikan kelebihan kepada BN, terutamanya dengan kehadiran begitu aktif Saarani yang juga Pengerusi BN Perak di kawasan DUN berkenaan.
Menurutnya, kehadiran hampir setiap hari Saarani di kawasan berkenaan membuktikan kerajaan komited menyelesaikan isu setempat selain keprihatinan yang ditunjukkan melalui kempen bersemuka.
Sivamurugan berkata, minggu akhir kempen akan pasti lebih agresif dengan kehadiran pimpinan tertinggi parti-parti bertanding untuk menarik tumpuan penduduk di kawasan DUN Ayer Kuning tersebut.
Katanya, dalam pecutan terakhir ini, mereka akan memastikan pengundi yang telah diyakinkan tidak terlepas atau hilang daripada memberikan sokongan terutama atas pagar.
"Minggu kedua ni juga akan berlaku pusingan kedua calon untuk bertemu dengan pengundi-pengundi atas pagar yang kali pertama mungkin akan keluar mengundi khususnya orang muda.
"Saya rasa ini minggu yang kritikal untuk kedua-dua gabungan besar itu. Dari segi kempen, dari segi pusingan yang dilakukan di lapangan dan media sosial juga, saya nampak BN masih mendahului,” katanya lagi.
Hanya tinggal beberapa hari kempen, BN mempunyai harapan besar untuk memenangi kerusi DUN tersebut dengan jumlah undi serta majoriti besar hasil kerja keras bersama rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun PN dan PSM tidak akan mengaku kalah awal biarpun berdepan situasi sukar untuk sekurang-kurangnya menambah jumlah undi yang mereka terima pada PRU15 lalu.