SEPANG - Cubaan seorang lelaki yang dipercayai diupah sebagai 'keldai' untuk menyeludup hidupan liar bagi spesies Ungka Tangan Hitam dan kura-kura Red-Eared Slider melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, gagal selepas diberkas pada Ahad lepas.
Penahanan lelaki warga India kira-kira jam 10 malam itu dilakukan hasil tindakan pantas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Polis Bantuan KLIA.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek ditahan semasa hendak menaiki penerbangan ke Tiruchirapalli, India.
Menurutnya, pemeriksaan pada bagasi dibawa lelaki berusia 21 tahun itu menemui seekor disyaki Ungka Tangan Hitam serta enam ekor kura-kura Res-Eared Slider.
"Penumpang (suspek) tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berkaitan hidupan liar terbabit.
"Nilai sitaan hidupan liar dianggarkan bernilai RM12,200," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai 'keldai' yang menyeludup hidupan liar keluar dari Malaysia dengan menyorokkannya dalam bagasi.
Tegasnya, lelaki terbabit disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
"Saya beri amaran keras kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyimpanan hidupan liar secara haram agar menghentikan segera perbuatan tersebut.
"Jabatan Perhilitan komited membanteras jenayah hidupan liar demi memastikan kelestarian khazanah serta biodiversiti negara. Sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan, sila salurkan kepada kami segera,” ujarnya.