KUBANG PASU – Sebuah kilang haram memproses kitar semula sisa plastik di sini diarah menghentikan operasi serta-merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah pada Ahad kerana didapati beroperasi tanpa lesen pihak berkuasa tempatan dan kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati premis tersebut menjalankan operasi secara tidak sah dan melanggar Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menurutnya, mana-mana premis kitar semula plastik perlu mendapatkan kelulusan EIA daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar Sekeliling terlebih dahulu sebelum beroperasi.
"Premis ini menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik tanpa kelulusan EIA daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. Oleh itu, premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Premis diarahkan menghentikan operasi serta-merta dan hanya boleh beroperasi semula selepas memperoleh kelulusan Laporan EIA daripada JAS,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sharifah Zakiah turut memaklumkan, maklumat mengenai kilang tersebut diperoleh hasil kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menjalankan operasi ke atas premis berkenaan sebelum maklumat itu disahkan melalui siasatan lanjut oleh pihaknya.
Katanya, Notis Arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan kepada premis terbabit untuk pelaksanaan tindakan pematuhan segera sepanjang tempoh POK.
Beliau mengingatkan pihak industri supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan berkaitan, serta memastikan tidak mencemarkan alam sekitar.
"JAS Kedah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang dan akan terus memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap premis yang terlibat dalam pencemaran alam sekitar,” tegasnya.
Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.