KOTA BHARU - Seramai 1,410 anggota bomba dikesan mengalami masalah berat badan berlebihan dengan bacaan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30, sekali gus tergolong dalam kategori obesiti, tahun lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, seramai 229 bomba mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan jantung sekali gus tidak layak menyertai program pemulihan yang dijalankan.
Menurut beliau, baki seramai 1,181 anggota menjalani Program Pemulihan Intervensi Pengurusan Berat Badan melalui Wellness Hub JBPM sejak Jun tahun lalu.
"Kami laksanakan saringan awal bagi pastikan program selamat untuk semua peserta kerana latihan melibatkan pendekatan fizikal yang intensif.
"Anggota yang berisiko tidak dibenarkan menyertai kerana tidak mahu mereka alami mudarat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Bomba dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Kelantan di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, daripada jumlah yang menyertai program, seramai 1,021 berjaya menurunkan berat badan termasuk 260 yang berjaya kembali kepada berat badan ideal.
"Daripada jumlah itu juga, 306 anggota mencatatkan penurunan lima kilogram ke atas.
"Ini menunjukkan keberkesanan pendekatan berfasa yang digunakan dalam program bagi memastikan anggota bomba mempunyai berat badan ideal, sihat, cergas dan mampu melaksanakan tugasan mencabar,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, tahun lalu, pihaknya mencapai kadar masa respon terhadap panggilan kecemasan pada lapan minit tiga puluh enam saat iaitu di bawah paras disasarkan, sembilan minit tiga puluh saat.
Katanya, pencapaian itu banyak disumbangkan oleh negeri-negeri metropolitan seperti Selangor dan Kuala Lumpur, manakala Kelantan turut mencatat peningkatan apabila masa respon menurun kepada sembilan minit dua empat saat pada suku pertama tahun ini.
"Faktor penempatan yang berkelompok dan lokasi balai yang berdekatan menyumbang kepada pencapaian baik negeri maju, berbanding negeri seperti Kelantan, Pahang dan Kedah yang mempunyai taburan penduduk lebih berselerak.
"Kami mahu sentiasa pastikan masa respon berada di bawah paras sasaran nasional demi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.