Razman tuntut Exco Perak mohon maaf siar kandungan provokatif

Iklan
RAZMAN

IPOH - Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria menuntut Exco Kerajaan Negeri Perak, Woo Kah Leong memohon maaf secara terbuka di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin berhubung penyiaran kandungan berunsur provokatif terhadapnya di media sosial.

Razman berkata, beliau kesal dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu yang menggunakan gambarnya tanpa kebenaran dan menyunting seperti badut dalam satu hantaran di Facebook yang didakwa bersifat jelik dan menghina.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun digantung daripada menghadiri sidang DUN selama enam bulan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, beliau tetap mengikuti persidangan tersebut.

"Saya menuntut Kah Leong menarik balik kandungan tersebut dan memohon maaf dalam ucapan penggulungan beliau hari ini (Isnin).

Iklan

"Jika gagal berbuat demikian, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Razman berkata, penggunaan wajahnya tanpa keizinan dalam bentuk provokasi adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang penyebaran kandungan tidak senonoh dan menyinggung perasaan.

Iklan

Beliau turut meminta kerjasama kepada pihak MCMC untuk segera membuat siasatan dan bertindak sewajarnya terhadap ADUN berkenaan.

Dalam pada itu, Razman turut membidas Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang sebelum ini mengkritik pihak lain sebagai tidak matang dan kebudak-budakan, namun gagal menasihati pemimpin muda daripada partinya sendiri.