KUALA TERENGGANU – Permintaan santan segar merosot hampir 30 peratus susulan kenaikan mendadak harga bahan masakan itu selepas berakhirnya Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025.
Seorang peniaga santan di Pasar Chabang Tiga, Suzlan Abd Wahab, 37, berkata, harga santan segar kini mencecah RM20 sekilogram sejak dua minggu lalu berbanding RM17.50 semasa tempoh kawalan harga.
"Harga kelapa yang kami dapat sekarang mencecah RM3.70 sebiji, naik berbanding RM3.50 sebelum raya. Sejak harga naik dan bekalan kurang, permintaan terhadap santan jatuh kira-kira 30 peratus.
"Buat masa ini, kami hanya mampu memproses santan daripada 300 hingga 400 biji kelapa sehari," katanya yang telah 15 tahun berniaga bersama dua lagi peniaga di pasar itu.
Seorang lagi peniaga, Wan Mohd Shukri Wan Muda, 45, berkata bekalan kelapa kini bergantung sepenuhnya kepada sumber import dari Indonesia selepas bekalan hasil buah tempatan tidak mencukupi.
"Buah dari tempatan pun tak ada, kami harap dari Indonesia tapi sekarang pun tak cukup. Harap kementerian ambil cakna, kesian kepada peniaga macam kami," katanya.
Katanya lagi, sebelum ini harga santan sekitar RM15 sekilogram, namun terpaksa dinaikkan kepada RM20 sekilo berikutan harga kelapa yang melambung tinggi.
Sementara itu, seorang pelanggan, Naqiah Azman, 33, berkata kenaikan harga santan menjejaskan perbelanjaan dapur terutamanya ketika musim perayaan.
"Masakan orang Terengganu memang banyak guna santan, kalau guna santan kotak rasa dia memang tak sama. Nak tak nak, kami tetap beli walaupun harga mahal sebab nak pastikan rasa asli," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan kelapa di negeri ini dan menjangkakan stok kelapa akan kembali stabil selepas Aidilfitri.
"Bekalan kelapa agak stabil dan jika berlaku kekurangan FAMA akan meningkatkan bekalan di tempat yang berkurangan selain menambah bekalan di cawangan FAMA seluruh Terengganu," katanya.