SHAH ALAM - Umat Islam diingatkan agar tidak meletakkan kemenangan politik sebagai keutamaan mengatasi kewajipan ibadah haji dan umrah yang merupakan rukun dan ibadah utama dalam agama.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata, mereka yang erpilih menunaikan ibadah berkenaan adalah satu anugerah besar daripada ALLAH SWT dan tidak sepatutnya dipersiakan atas alasan atau pertimbangan bersifat duniawi.
"Sesiapa yang telah terpilih sebagai Dhuyufur Rahman sambutlah seruan dan pergilah menunaikan haji dengan penuh keikhlasan.
"Anda telah terpilih oleh ALLAH SWT dalam kalangan berbilion umat Islam, jadi rebutlah peluang ini untuk beribadah setulusnya,” katanya di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi isyarat supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Beliau mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW yang dihalang melaksanakan umrah sehingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Justeru, Zulkifli menegaskan, setakat ini tiada fatwa daripada mana-mana badan berautoriti di Malaysia yang menyokong pandangan sedemikian.
"Tiada fatwa daripada Jabatan Mufti, Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) atau badan fatwa lain yang menyatakan kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan haji dan umrah.
"Kenyataan seperti ini memerlukan penelitian lebih mendalam dan dilakukan dengan penuh hati-hati agar tidak disalahertikan bahkan boleh menatijahkan pemikiran ekstrem, ketaasuban dan kefanatikan,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan, umrah merupakan ibadah sunat yang fleksibel dan boleh diatur mengikut kesesuaian masa serta keadaan individu.
Katanya, jika melibatkan ibadah tersebut individu boleh merancang sebaiknya dan cuba sedayanya untuk memilih tarikh yang bersesuaian.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa agama Islam tidak mengajar umatnya untuk meninggalkan ibadah semata-mata demi merebut kemenangan politik.
"Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar yang sentiasa menyatukan kita di atas titik akidah yang menyuburkan kedamaian, persaudaraan dan perpaduan,” ujarnya.