SEGAMAT –"Arwah selalu pesan jangan berhenti sekolah dan belajar rajin-rajin supaya boleh ubah nasib keluarga.”
Itulah pesanan terakhir yang masih terngiang-ngiang di fikiran Syahmi Muhamad Karim, 13, adik bongsu kepada Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang maut dalam kemalangan membabitkan dua bas di dalam kampus universiti tersebut pada Sabtu.
Menurut Syahmi, arwah yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dikenali sebagai kakak yang tegas, penyayang dan sangat mengambil berat tentang pelajaran adik-adiknya.
"Kakak selalu cakap jangan berhenti sekolah dan kena rajin belajar. Dia nak kami masuk universiti macam dia dan bantu keluarga bila dah berjaya nanti,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Felda Chemplak, di sini, pada Ahad.
Adik ketiga mangsa, Muhammad Haziq Muhamad Karim, 15, pula memaklumkan kali terakhir mereka berjumpa ialah pada Hari Raya Aidilfitri dan tiada sebarang perubahan ditunjukkan oleh kakaknya ketika itu.
"Mula-mula kami ingat kemalangan biasa saja. Tapi bila mak ayah diberitahu arwah parah dan perlu ke hospital, kami semua terkejut.
"Mak dan ayah terus naik kapal terbang ke sana. Lepas itu baru tahu kakak tak dapat diselamatkan,” katanya sebak.
Tinjauan di rumah keluarga mangsa mendapati suasana hiba menyelubungi kediaman, dengan sanak saudara dan jiran tetangga hadir bagi menyambut ketibaan jenazah.
Jenazah dijangka tiba di Felda Chemplak selepas proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, sebelum disolatkan di Masjid Nurhidayah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chemplak, lewat petang atau malam ini.
Dalam kejadian sekitar jam 8.45 pagi Sabtu, mangsa sedang berjalan kaki menuju ke perhentian bas dalam kampus sebelum sebuah bas yang berhenti mengambil penumpang dirempuh dari belakang oleh bas lain.
Akibat pelanggaran itu, bas kedua terbabas, melanggar penghadang dan menghimpit mangsa yang sedang menunggu bas. Mangsa parah dan disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang hari yang sama.