NEW YORK – Seorang wanita maut selepas menjalani prosedur pembuangan implan punggung yang dilakukan oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pakar bedah plastik di sebuah kediaman di bandar New York.
Mangsa, María Peñaloza, 31, dari Queens, dilaporkan mengalami serangan jantung dan disahkan mati otak selepas prosedur berkenaan dilakukan pada 28 Mac lalu, menurut kenyataan daripada Jabatan Polis New York (NYPD).
Suspek, Felipe Hoyos-Foronda, 38, didakwa menjalankan pembedahan tersebut tanpa lesen dan di luar fasiliti perubatan yang diiktiraf, menurut aduan jenayah yang difailkan oleh Pejabat Pendakwa Daerah Queens.
Dalam kejadian itu, Hoyos-Foronda didakwa menyuntik bahan anestetik lidokain ke tubuh mangsa menggunakan picagari, sebelum wanita itu tiba-tiba mengalami serangan jantung.
Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari rumah suspek dan dihantar ke Hospital Astoria General, di mana dia telah diintubasi dan disahkan tidak menunjukkan sebarang aktiviti otak.
Seorang doktor yang merawat Peñaloza memaklumkan kepada pihak pendakwa bahawa mangsa menunjukkan tanda-tanda ‘keracunan lidokain’ dan berkemungkinan besar tidak akan terselamat.
Susulan kejadian, Hoyos-Foronda telah ditahan pihak berkuasa dan kini berdepan pertuduhan menyerang secara fizikal tahap kedua serta mengamalkan profesion perubatan tanpa lesen. Dia kini ditahan di Pusat Tahanan Otis Bantum, East Elmhurst, New York.
Menurut Pejabat Pendakwa Daerah, pihaknya sedang meneliti kemungkinan untuk menaik taraf pertuduhan terhadap suspek selepas kematian Peñaloza."Kes ini masih dalam siasatan aktif dan kami tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut buat masa ini,” jelas jurucakapnya.
Maklumat mengenai peguam bela suspek belum diperoleh, manakala perbicaraan seterusnya dijadualkan berlangsung pada 28 April ini. - Agensi