PAPAR - Stok penimbal gula putih akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak bermula 1 Mei ini bagi memastikan bekalan gula di kedua-dua negeri tidak terjejas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara berperingkat susulan keputusan mesyuarat jemaah menteri pada 26 Mac lalu.
"Stok penimbal di Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula pada 1 Mei selepas perbincangan segera diadakan bersama dua pengilang utama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Aidilfitri beliau sebagai Ahli Parlimen Papar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat di sini pada Ahad.
Menurut beliau, sebanyak satu juta kilogram gula akan disediakan menerusi stok penimbal tersebut bagi menangani gangguan bekalan terutamanya menjelang musim perayaan.
"Stok ini hanya akan digunakan sekiranya berlaku gangguan bekalan, buat masa ini bekalan masih stabil. Namun gangguan pernah berlaku akibat masalah import gula mentah ke Semenanjung dan harga pasaran global yang tinggi, menyebabkan pengilang mengurangkan pengeluaran.
"Bila dikurangkan bekalan, kawasan yang terjejas adalah Sabah, Sarawak dan Labuan memandangkan kos perkapalan yang tinggi serta tempoh penghantaran yang panjang iaitu sehingga lima hari ke Kuching dan tujuh hari ke Kota Kinabalu, belum termasuk kawasan pedalaman seperti Nabawan dan Sukau.
"Sebab itu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk menjayakan penubuhan stok penimbal ini, yang dianggarkan mencukupi bagi keperluan tiga hingga enam bulan sekiranya berlaku sebarang gangguan," katanya.
Armizan turut memaklumkan bahawa Kabinet telah meluluskan tambahan subsidi pengangkutan bagi penghantaran gula dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
"Sebelum ini, peruntukan subsidi sebanyak RM19 juta setahun, iaitu 10 sen bagi setiap kilogram. Kini, ia telah digandakan kepada RM38 juta.
"Ini akan membantu mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh pengilang dan mempercepatkan penghantaran," katanya.
Beliau menegaskan, langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu bekalan barangan penting di Sabah, Sarawak dan Labuan, terutamanya barangan yang bergantung sepenuhnya kepada sumber dari Semenanjung.