TANJUNG MALIM - Seramai lebih 100 orang terperangkap selepas jambatan di jalan masuk utama ke tiga pusat rekreasi dan perkhemahan di Sungkai di sini runtuh dalam kejadian pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut jam 10.46 pagi.
Menurutnya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke lokasi kejadian.
"Kejadian jambatan runtuh itu berlaku di jalan masuk utama ke Hot Spring Felda Sungai Klah, Kampung Tisong dan Buyong Mas Sanctuary Camp Site yang mengakibatkan laluan masuk dan keluar terputus.
"Pihak JBPM bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk membawa mangsa keluar menggunakan jalan alternatif pada hari ini dan usaha itu sedang berjalan," katanya.
Sabarodzi berkata, berdasarkan maklumat diterima seramai kira-kira 45 orang terdiri daripada 17 keluarga iaitu 39 orang dewasa dan 16 kanak-kanak terkandas di Hot Spring Sungai Klah serta terdapat penduduk Kampung Orang Asli Tisong yang turut terlibat.
Katanya, selain itu, terdapat kira-kira 81 pelajar dari Politeknik Sultan Azlan Shah yang sedang berkursus di Buyong Mas Sanctuary Camp Site bersama 10 orang kakitangan pusat perkhemahan terbabit turut terkandas.
Jelasnya, antara agensi terlibat termasuklah Pejabat Daerah Batang Padang, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sungkai.