BENTONG – Dakwaan kononnya kerajaan negeri Pahang tidak mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak berfakta, tegas Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut beliau, sejak tahun 2019, kerajaan negeri telah mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencerobohan tanah termasuk kes terbaharu membabitkan seluas 404 hektar Hutan Simpan Sungai Perdak, Bentong yang diceroboh bagi penanaman pokok durian secara haram.
"Kalau ada tohmahan kononnya kerajaan negeri tidak bertindak, tuan-tuan dan puan-puan boleh semak sendiri rekod. Kerajaan negeri telah menguatkuasakan tindakan terhadap aktiviti haram sejak tahun 2019 lagi.
"Contohnya pada tahun lalu, semasa saya melakukan rondaan udara dengan menaiki helikopter yang disewa kerajaan negeri, saya melihat kelainan pada warna daun di tengah hutan dan apabila diperiksa, ia rupa-rupanya kebun durian haram seluas 1,000 ekar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Moh Karnival Makmur Bentong @ Pelangai yang berlangsung di Dataran Felda Chemomoi, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang merangkap Pengerusi Moh Karnival Makmur, Datuk Sabariah Saidan serta Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan, Datuk Amizar Abu Adam.
Susulan penemuan itu, Wan Rosdy mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian negeri, Pegawai Daerah serta Unit Penguat Kuasa Negeri Pahang (UPNP) mengambil tindakan segera bagi mengembalikan kawasan berkenaan kepada kerajaan negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah secara haram di negeri ini.
"Sejak saya menjawat jawatan sebagai Menteri Besar pada 2018, seluas 3,366 hektar tanah yang diceroboh secara haram telah dikuatkuasakan semula oleh kerajaan negeri.
"Dulu dikenakan kompaun, sekarang tidak lagi. Sejak 2023, tiada lagi kompromi. Kita terus bawa ke muka pengadilan,” katanya.
Menurutnya, dua individu telah dikenakan hukuman denda RM100,000 setiap seorang kerana meneroka tanah tanpa kebenaran.
"Sebelum ini, hanya dikenakan kompaun RM20,000 atau RM30,000. Tetapi kini, kita ambil tindakan lebih tegas sebagai pengajaran dan amaran jelas kepada semua pihak,” katanya.