ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah disarankan meningkatkan hasil negeri serta meminimumkan ketirisan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan.
Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar tindakan penguatkuasaan berterusan dilaksanakan dan hukuman tegas dikenakan terhadap setiap kesalahan yang dilakukan.
Baginda berharap peningkatan hasil tersebut akan membolehkan kerajaan merealisasikan pembangunan yang dirancang demi kesejahteraan rakyat.
"Beta mahu semua wakil rakyat memainkan peranan membantu kerajaan negeri merancang berdasarkan kekuatan yang boleh dioptimumkan. Ia perlu sejajar dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan gagasan The Greater Kedah demi kelangsungan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Sultan Kedah turut menyeru agar kedudukan strategik negeri yang berjiran dengan Thailand dimanfaatkan sepenuhnya melalui pembangunan bandar sempadan yang menawarkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan rentas sempadan, khususnya sebagai hab logistik dan industri.
"Beta berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengambil tindakan proaktif dan lebih agresif membawa masuk pelabur ke kawasan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ).
"Selain merencana pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat juga merupakan nadi penting bagi sesebuah kerajaan yang baik dan stabil,” titah baginda lagi.
Baginda turut menyarankan agar kawasan perindustrian sedia ada diperkasakan, selain meneroka kawasan-kawasan baharu yang berpotensi untuk dimajukan.
"Kerajaan disarankan merancang kawasan perindustrian baharu, khususnya di daerah Bandar Baharu dengan memanfaatkan limpahan pembangunan kawasan industri di negeri jiran.
"Dengan mengambil kira konsep permintaan dan penawaran, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang lengkap. Apabila ekosistem pelaburan diwujudkan, barulah pelabur berminat datang ke Kedah,” titah baginda.
Sultan Kedah turut memaklumkan bahawa negeri itu berjaya mencatat kedudukan keempat tertinggi dalam negara dengan jumlah keseluruhan pelaburan masuk sebanyak RM45.8 bilion pada tahun 2024, berbanding RM28.7 bilion pada tahun sebelumnya.
"Beta berharap prestasi baik ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang agar ekonomi negeri terus kukuh dan berdaya mampan,” titah baginda.