KUALA PILAH - Persidangan UMNO merupakan medium perkukuh muafakat dan masih terlalu awal untuk membincangkan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ketika ini UMNO masih berpegang kepada sistem sedia ada dalam Kerajaan Perpaduan dan soal berkaitan usahasama bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti menentukan.
"Terlalu awal untuk bincang mengenai agihan kerusi dan terlalu awal juga menetapkan status kerjasama PH-BN untuk PRU16. Ia akan diputuskan oleh Presiden parti peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Presiden PH.
"Bagaimanapun, selaku Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, saya ingatkan ahli peringkat cawangan untuk menumpukan kepada persiapan kekuatan jentera UMNO peringkat akar umbi dan cawangan, serta tak lupa siap siaga peringkat Pusat Daerah Mengundi untuk dilakukan awal," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini pada Sabtu.
Majlis bermula jam 7 petang itu meriah dengan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tambah beliau, mesyuarat UMNO peringkat cawangan telah berjalan dari sekarang dan berlangsung selama sebulan, diikuti peringkat bahagian seterusnya Persidangan Agung UMNO.
Beliau pada masa sama turut memaklumkan, memantau secara rapat program dilaksanakan untuk mendekati pengundi muda.
"Untuk memastikan pengundi muda terus bersama kita, pelbagai pendekatan telah dilakukan peringkat Pemuda dan Puteri termasuk sesi libat urus bersama pengundi muda yang pertama kali akan membuang undi pada PRU16 nanti.
"Pengisian ini sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa dan saya sedang meneliti secara rapat tentang segala aktiviti dekat untuk golongan muda," katanya.