SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak konsisten dalam menyatakan pendiriannya mengenai kepentingan pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ketika memegang jawatan Ketua Pembangkang dahulu, Anwar lantang mengkritik hubungan rapat pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan China.
Namun kini, beliau berkata, Anwar dilihat sering menekankan kepentingan hubungan ekonomi dan pelaburan bersama negara tersebut.
"Sebab itu sebenarnya kredibiliti Anwar dalam isu hubungan dengan China ini tidak tinggi mana.
"Dulu semasa membantai, beliau bantai semahu-mahunya. Nada beliau ketika itu juga penuh dengan retorik politik dan tidak ada ketelitian dalam mengkritik Najib. Saya sendiri kritik Najib, tetapi tidak seperti Anwar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Rabu lalu, Anwar menegaskan China kekal sebagai rakan dagang paling penting Malaysia lebih-lebih lagi dalam keadaan kekalutan sistem perdagangan global ketika ini susulan pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata, jalinan hubungan dengan China mempunyai kepentingan untuk rakyat, ekonomi serta pembangunan dan keutuhan negara secara keseluruhannya.
Sementara itu, tambah Wan Ahmad Fayhsal, perubahan ketara sikap Anwar sejak memegang tampuk kerajaan menimbulkan banyak persoalan khususnya tentang ketelusan dan prinsip sebenar yang dipegangnya sebagai Perdana Menteri.
"Di sini jelas satu bentuk hipokrasi. Anwar perlu jelaskan kepada rakyat kenapa dahulu pendirian terhadap China begitu keras, tetapi sekarang berbeza.
"Jangan sapu bawah karpet (permaidani). Inilah cerminan masalah kerajaan Pakatan Harapan hari ini,” katanya.