Pemenang emas Komanwell 1998, Saravanan terima sumbangan PM

Iklan
Saravanan (dua kiri), pemenang emas Sukan Komanwel 1998 kini menghidap penyakit motor neurone - Foto: FB Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sumbangan kepada pemenang pingat emas acara 50 kilometer (km) lumba jalan kaki lelaki Sukan Komanwel 1998, G Saravanan yang disahkan menghidap penyakit motor neurone disease pada 2021.

Bantuan berkenaan dihulurkan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika menziarahi Saravanan di sebuah hospital di Petaling Jaya hari ini.

Iklan
Iklan

"Saudara G. Saravanan bukan sekadar atlet biasa, malah beliau juga ialah lambang kebanggaan negara. Kisah perjuangan beliau melawan penyakit ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri (Wan Azizah).

"Saya juga meluangkan masa untuk mendengar sendiri kisah beliau. Meskipun pertuturan beliau kini terbatas, kekuatan semangat yang terpancar jelas menggambarkan betapa tabahnya beliau menghadapi ujian ini. Api semangat sang juara yang tidak akan pernah terpadam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Iklan

Ahmad Farhan pada masa sama mendoakan agar Saravanan terus diberikan kekuatan fizikal dan ketenangan jiwa manakala seluruh ahli keluarganya dikurniakan ketabahan, ketenangan hati serta dipermudah segala urusan.

Turut hadir menziarahi bekas atlet berusia 54 tahun itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim serta wakil Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). - Bernama

Iklan