LONDON - Tiga anak burung merpati Socorro, spesies yang telah pupus di habitat liar, menetas di Zoo London, menandakan kemajuan penting dalam usaha membawa kembali spesies itu daripada ambang kepupusan, lapor PA Media/dpa.
Anak burung itu menetas pada akhir Mac hasil daripada dua pasangan merpati jantan betina yang tiba di zoo berkenaan pada penghujung 2024.
Penetasan ini merupakan sebahagian daripada program pembiakan antarabangsa yang bertujuan meningkatkan populasi burung itu agar dapat dilepaskan semula ke habitat asalnya di Pulau Socorro, di luar pantai Mexico, menjelang tahun 2030.
Kini, hanya kira-kira 180 ekor merpati Socorro wujud di seluruh dunia dan dijaga oleh kurang daripada 50 institusi pemuliharaan.
Kurator burung Zoo London, Gary Ward berkata:"Penetasan tiga anak merpati Socorro di Zoo London merupakan langkah besar dalam usaha kami memulihkan spesies ini daripada kepupusan.
"Selepas membawa masuk beberapa ekor merpati daripada Zoo Lagos, Portugal pada hujung tahun lepas sebagai sebahagian daripada program pembiakan terselaras, kami amat gembira apabila melihat burung-burung ini berjaya dipasangkan dengan burung yang dibiakkan di sini,” katanya.
"Kami berharap daripada program-program ini, spesies ini akhirnya akan kembali ke pulau asal mereka, satu hari nanti.”
Merpati Socorro dahulunya hidup di hutan tebal Pulau Socorro, namun menjelang awal 1970-an, populasinya musnah akibat kehilangan habitat akibat penebangan hutan dan kemasukan pemangsa bukan asal.
Biri-biri liar yang dibawa masuk sejak lewat 1800-an telah merosakkan tumbuh-tumbuhan di pulau itu, sekali gus memusnahkan kawasan sarang burung berkenaan.
Kini, hanya 181 ekor masih wujud di bawah penjagaan manusia di seluruh dunia.
"Setiap kejayaan penetasan adalah langkah penting untuk Projek Merpati Socorro,” kata Ward.
"Spesies ini telah pupus di habitat liar sejak 1972, dan hanya mampu terus hidup melalui program pembiakan terkawal di Eropah dan Amerika Utara.
"Kami berharap daripada program-program ini, spesies ini akhirnya akan kembali ke pulau asal mereka, ” katanya lagi.
Ketua pasukan burung tropika Zoo London, Adrian Walls berkata anak-anak burung itu berada dalam keadaan sihat dan membesar dengan cepat.
"Kami memantau sarang dengan teliti dan melihat tingkah laku positif daripada keluarga baharu itu, dengan kedua-dua ibu bapa memberi makan dan menjaga anak mereka - petanda penting bagi ikatan keluarga yang kuat.
"Apabila anak-anak burung terus membesar, bulu perang kusam mereka akan bertukar menjadi rona kayu manis yang pekat, lengkap dengan bulu berkilau merah jambu dan biru di belakang tengkuk, seperti merpati Socorro dewasa.
Ia amat mengujakan apabila tiga telur istimewa daripada spesies yang telah pupus di habitat liar ini berjaya menetas - tepat pada waktunya sempena Easter. Kami tidak sabar menanti anak-anak burung itu bertambah tegap musim bunga ini,” katanya. - Bernama