MELAKA – Helah dua tokan yang cuba menyeludup masuk dadah jenis syabu bernilai RM18,000 untuk pasaran negeri ini berjaya dihidu polis selepas dicekup dalam sekatan jalan raya di Jalan Ong Kim Wee di sini pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi, kedua-dua suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 20-an ditahan ketika menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, soal siasat awal, mereka memberi alasan untuk pergi ke rumah kawan, namun hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemui satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 822.1 gram.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang merupakan penganggur dan berasal dari luar negeri ini dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga hingga empat bulan lalu dengan menyasarkan pasaran tempatan termasuk Melaka.
Katanya, ketika ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Tengkera, Balai Polis Melaka Tengah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, mereka memberitahu datang ke sini mahu berjumpa rakan.
Beliau berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 4,110 penagih.
Semakan mendapati suspek pertama memiliki dua rekod jenayah lampau manakala suspek kedua pula mempunyai tiga rekod di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Polis turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222.