KUALA LUMPUR –"Mendapat RM2.5 juta bukan soal wang, sebaliknya mesej yang ingin disampaikan mahkamah ialah bahawa fitnah yang dibuat ketika negara dilanda krisis Covid-19 sememangnya tidak wajar diulangi.”
Demikian kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq, membayar ganti rugi tersebut kerana memfitnah beliau berhubung pandemik dan program vaksinasi kerajaan pada tahun 2021.
Ketika ditemui di luar mahkamah, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, jumlah tersebut turut menjadi isyarat bahawa pihak yang menabur fitnah sewaktu petugas barisan hadapan bertungkus-lumus menyelamatkan negara, wajar dihukum dengan jumlah yang besar.
Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ berkata, ini kerana kenyataan tidak berasas itu bukan sahaja menjejaskan kredibilitinya, malah melunturkan semangat semua pihak yang terlibat dalam memerangi wabak pembunuh tersebut.
"Jadi, keputusan mahkamah bukan sahaja kemenangan untuk mendapatkan kebenaran bagi saya, bahkan kejayaan dalam mengiktiraf usaha semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dalam membebaskan negara daripada pandemik,” katanya.
Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan pendakwah itu atau nama penuhnya, Mohd Rasyiq Mohd Alwi, 45, membayar ganti rugi kerana memfitnah Khairy yang kini merupakan penyampai radio.
Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan, memutuskan demikian selepas membenarkan saman dikemukakan Khairy, 49.
Khairy selaku plaintif telah memfailkan saman fitnah terhadap Abu Syafiq dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam selaku defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Januari 2022.
Saman itu dibuat susulan tulisan dalam talian antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022 berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.
Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy, antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari 2022.
Menurut laporan, Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status yang dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.
Dalam pada itu, Abu Syafiq menerusi satu hantaran berasingan sebelum itu turut menyatakan bahawa beliau akan memadam segala hantaran dan video berkaitan vaksin serta bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Bagaimanapun, pada 15 April 2024, kes saman terhadap Lokman diselesaikan secara baik apabila beliau bersetuju untuk memohon maaf kepada Khairy dalam tempoh 30 hari selain membayar pampasan.