Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengakui, kemenangan mendebarkan The Red Devils ke atas Olympique Lyon dalam saingan Liga Europa membolehkan mereka melupakan sementara kekecewaan musim ini.
"Dua gol terakhir sungguh menakjubkan, itu sesuatu yang boleh kita simpan untuk masa depan.
"Saya rasa itulah sebabnya kita sangat menyukai sukan ini mengharungi kekecewaan dialami seperti ini, kekecewaan, saat-saat buruk, apabila anda mempunyai saat seperti ini, semuanya berbaloi.
"Momen seperti ini dapat membantu ramai pemain musim ini. Mereka dapat mewujudkan hubungan dengan peminat dan pemain, kita lupa seketika bagaimana musim yang telah kita lalui," kata Amorim.
United mara ke separuh akhir Liga Europa selepas menang 5-4 ke atas kelab Ligue 1 Perancis itu dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Old Trafford pada Jumaat.
Gol United dijaringkan Manuel Ugarte (m-10), Diogo Dalot (m-46), Bruno Fernandes (m-114), Kobbie Mainoo (m-120) diikuti tandukan Harry Maguire (m-121).
Jaringan Corentin Tolisso pula meletakkan Lyon kembali dalam permainan minit ke-71, diikuti jaringan Nicolas Tagliafico (m-77), Rayan Cherki (m-104) dan Alexandre Lacazette (m-109).
Kemenangan anak buah Amorim itu membolehkan Red Devils mara dengan agregat 7-6 selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 di Parc Olympique Lyonnais, 11 April lalu.
Sebagai rekod, menjuarai Liga Europa adalah satu-satunya harapan United untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.
Di peringkat domestik, United telah mengharungi kempen yang suram, juara 20 kali liga utama itu dijangka mencatatkan pungutan mata terburuk dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kini menduduki tangga ke-14 dalam liga.
Sementara itu, Maguire menghabiskan sebahagian besar saat-saat akhir di bahagian serangan dengan pilihan penyerang Amorim yang sangat terhad.
Ini bukan kali pertama Maguire diminta untuk memainkan peranan sedemikian musim ini, dengan Amorim menegaskan beliau mungkin perlu menggunakan pemain antarabangsa England itu lagi.
"Untuk bermain perlawanan biasa dari awal, tidak (Maguire tidak akan bermain).
"Tetapi pada saat-saat seperti ini (Lyon), ia adalah sesuatu yang sangat penting..
"Apabila melihat Harry dan saya meletakkannya sebagai penyerang, saya hanya melihat seorang lelaki dalam kotak penalti, adakah dia bagus atau tidak di dalam kotak penalti?
"Jika dia berada di kotak penalti lawan, dia adalah seorang penyerang, bukan pertahanan, dia tahu bagaimana untuk bergerak di ruang itu. Ia hanya untuk meletakkan ciri-ciri dan momen yang berbeza," tambah Amorim.