Malaysia, Thailand biaya projek jambatan rentas sempadan

Iklan
Anwar (kiri) bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra (kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan (CA) Projek Jambatan Rantau Panjang - Sungai Golok antara Nanta (dua, kiri) dan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suriya Juangroongruangkit merangkap Menteri Pengangkutan sempena lawatan kerja dua hari ke Thailand, pada Khamis. Foto Bernama

BANGKOK - Projek pembinaan jambatan kedua dan menaik taraf jambatan sedia ada menghubungkan Rantau Panjang di Malaysia dan Sungai Kolok di Thailand, yang dibiayai bersama oleh kedua-dua negara, dijangka siap pada 2028.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu membabitkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 117.3 meter yang selari dengan jambatan sedia ada selain kerja-kerja menaik taraf menyeluruh kepada struktur asal.

Iklan
Iklan

"Dengan anggaran kos RM40.54 juta, projek itu dibiayai bersama oleh kedua-dua kerajaan dan disasarkan siap pada 2028," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Pertukaran perjanjian itu kemudian disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra, yang menandakan permulaan rasmi projek infrastruktur rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Iklan

Nanta berkata, pemeteraian perjanjian itu menyaksikan satu lagi langkah penting ke arah memupuk pembangunan serantau yang lestari dan pertumbuhan inklusif.

"Ia sejajar dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan visi bersama rantau ini tentang kemajuan kolektif bagi memastikan pembangunan memanfaatkan semua komuniti serta tiada sesiapa yang dipinggirkan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kerjasama itu membuktikan komitmen Malaysia untuk memupuk pembangunan serantau, memperkukuh hubungan dua hala dan memastikan kemakmuran yang inklusif bagi komuniti di kawasan sempadan.

Sebaik siap, infrastruktur itu dijangka meningkatkan kesalinghubungan, perdagangan serta interaksi antara rakyat kedua-dua negara dengan ketara yang berfungsi sebagai simbol silaturahim berkekalan Malaysia dan Thailand.

Pada 2012, di bawah Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan yang diendors oleh Ketua-Ketua Negara, Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Lebuhraya Thailand di bawah Kementerian Pengangkutan negara itu mencapai kata sepakat untuk meningkatkan kapasiti jambatan tersebut bagi memenuhi peningkatan permintaan.

Malaysia kemudian menerajui pasukan yang mereka bentuk struktur baharu dengan mengambil inspirasi daripada motif perahu tradisional bagi memberi penghormatan kepada peranan utama Sungai Golok dalam menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan dan Sungai Kolok di Narathiwat. - Bernama