PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau tidak membelanjakan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta bagi kegunaan peribadi.
Syed Saddiq berkata, berdasarkan hujah yang dikemukakan pihak pembelaan, pengeluaran wang tersebut sebaliknya dibelanjakan untuk tujuan penganjuran program kebajikan parti.
"Amat jelas tidak ada satu sen pun diambil atau pergi ke akaun saya. Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat di mana ada mengatakan RM120,000 masuk ke akaun saya manakala RM100,000 masuk ke akaun Amanah Saham Berhad (ASB).
"Dalam prosiding juga telah dengar bahawa sudah ada pengeluaran duit saya sendiri daripada akaun ASB bagi tujuan perbelanjaan kempen.
"Pada masa sama dengan bukti-bukti resit yang jelas bahawa saya telah pun belanjakan melangkaui RM170,000, iaitu melebihi RM120,000 yang telah kita peroleh dalam program raih dana melalui majlis makan malam part," katanya ketika sidang media di pekarangan Istana Kehakiman di sini pada Khamis.
Sementara itu, ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh orang ramai sepanjang tempoh perbicaraan kes berlangsung.
Ujar Sharifah Mahani, perjuangan anaknya dalam menegakkan prinsip kebenaran menerusi sistem kehakiman diharap dapat memberi insipirasi kepada generasi muda yang akan datang.
"Apa yang saya ingin katakan ialah saya ucapkan terima kasih atas sokongan semua dan doa-doa yang diiringi.
"Tak dapat nak dikatakan sebagai seorang ibu dan melihat perjuangan anak saya, Syed Saddiq, saya harap ramai lagi anak muda yang akan turut serta dan bersama-sama berjuang untuk kebenaran," ujarnya sambil mengesat air mata.
Mahkamah Rayuan pada Khamis akan menetapkan tarikh lain keputusan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan Syed Saddiq, 33.
Semasa prosiding, Hakim Ahmad Zaidi berkata, mahkamah menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes bagi pemilihan tarikh berkenaan.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.