Petani terima dahulu harga baru benih padi sah - KPKM

Iklan
Mohamad ketika ditemui pemberita di Majlis Ramah Mesra bersama Anggota LPP Negeri Perak di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan Tapah pada Khamis.

TAPAH - Kerajaan berharap petani dapat menerima penetapan harga kawalan maksimum benih padi sah (BPS) yang diselaraskan kepada RM52 di peringkat pemborong dan RM56 bagi runcit per kampit 20 kilogram (kg) berkuat kuasa pada Selasa lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedia maklum terhadap keluhan petani susulan penurunan harga sebanyak RM2 itu.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, kerajaan akan melakukan semakan harga bagi memastikan ia pada kadar munasabah.

"Harga telah diturunkan RM2 buat masa ini. Walau bagaimanapun ia akan dilihat dari semasa ke semasa dan diharapkan petani terima dahulu penurunan harga itu.

Iklan

"Di pihak kementerian, kita sentiasa peka terhadap apa-apa sahaja tuntutan yang dianggap munasabah oleh petani.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk orang ramai khasnya pengusaha yang mana sekiranya mereka tidak beri kerjasama, maka tidak berlaku kestabilan harga (barang keperluan) menjelang raya yang lalu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Ramah Mesra bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan Tapah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin.

Media pada Selasa melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) kecewa terhadap keputusan KPKM yang hanya menurunkan harga BPS sebanyak RM2 sekampit.

Penurunan kecil itu dianggap tidak memberi sebarang impak besar terhadap kos keseluruhan yang ditanggung pesawah, terutamanya dalam situasi di mana harga padi merosot dengan ketara.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, harga santan di pasaran dijangka kembali stabil tidak lama lagi.

"Harga santan secara umumnya menjelang raya itu ada turun sedikit dan langkah-langkah awal telah diambil terus untuk membawa kelapa daripada Sabah untuk ke pasaran.

"Sekarang ini sudah lebih daripada sejuta biji yang dibawa dan akan ditambah lagi dari semasa ke semasa. Cuma musim perayaan negara ini (sambut) sebulan jadi, habis bulan ini ia akan kembali normal," katanya.